COVID-19 belum dihapuskan tetapi pelbagai sektor ekonomi perlu dibuka untuk memastikan pekerja tidak hilang pekerjaan.

Inilah hakikatnya. Selagi vaksin belum ditemui, setiap langkah pembukaan ekonomi mempunyai risiko. Risiko itu boleh dikelaskan sama ada tiada, rendah, sederhana ataupun tinggi.

Apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, setiap negara mengambil langkah “lockdown” mengikut kaedah masing-masing.

China yang mula sekali mengenakan “lockdown” di Wuhan. Malaysia menyusul pada 18 Mac dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum pandemik ini, hampir seluruh penduduk dunia tidak pernah merasakan “lockdown” apatah lagi memahami kesannya kepada kehidupan harian.

Kita tidak sebebas dulu untuk ke sana sini. Setiap kali melangkah keluar rumah, kita diingatkan supaya memakai pelitup muka dan membawa sanitizer.

Apabila pergi membeli belah di kedai atau pasar raya untuk keperluan harian ataupun sebarang produk lain, kebanyakan daripada kita masih menggunakan wang kertas. Pemindahan wang daripada kita dengan penjual mempunyai risiko tersendiri.

Setiap pekedai mempunyai kaedah tersendiri menerima wang kertas. Di sebuah kedai yang saya pergi, wang kertas hendaklah dimasukkan ke dalam kotak khas. Wang dalam kotak itu kemudiannya disembur dengan pembasmi kuman sebelum pekedai itu mengiranya.

Sekiranya ada baki, pekedai akan kembalikan lebihannya dengan memasukkannya dalam kotak. Saya tersentak melihat kelaziman baharu ini.

“Berkumankah wang kertas yang ada di dalam dompet aku ni?” tanya saya dalam hati.

Hakikatnya risiko jangkitan tetap ada. Setiap orang harus sedar tentang ini. Apabila masuk ke kedai, kita diminta imbas QR kod di pintu masuk premis dengan telefon pintar.

Jika tidak mempunyai telefon ataupun bateri telefon mati, kita diminta tulis nama dan nombor telefon pada buku daftar. Pen disediakan oleh pekedai.

Lebih baik imbas dengan telefon pintar daripada menggunakan pen. Mahu tidak mahu, kita kena daftar, inilah kelaziman baharu.

Menonton wayang, kita diminta duduk berselang kerusi di pawagam. Penjarakan sosial diamalkan untuk membendung penularan Covid-19.

Setiap masa, dalam pawagam, kita diingatkan sentiasa memakai pelitup muka. Namun, masih ada segelintir anak muda yang nakal bergerak dan duduk sebelah rakannya apabila lampu dimalapkan. Bergegaslah pelayan pawagam meminta kita beralih kerusi.

Perubahan demi perubahan ini dilakukan dan kita dituntut menyesuaikan diri dengan gaya hidup baharu. Perubahan ini bukan hanya berlaku di peringkat individu, tetapi juga organisasi.

Setiap organisasi menerima kesan langsung dan tidak langsung daripada “lockdown” yang dilaksanakan kerajaan. Organisasi swasta dan kerajaan perlu mengubah cara bekerja.

Tidak ada pilihan untuk yang tidak mahu berubah. Ketika PKP bermula, semua operasi ditutup kecuali perkhidmatan kritikal sahaja berjalan seperti biasa.

Apabila ini berlaku, semua orang tidak bergerak. Aktiviti melancong terjejas teruk. Pelancong luar negara disekat. Pelancong dalam negara kini baharu mula berjinakjinak keluar rumah.

Menginap di hotel untuk bercuti? Kita akan berfi kir banyak kali. Menaiki pesawat apabila perlu sahaja. Persatuan Perubatan Texas (PPT) menarafkan risiko dijangkiti Covid-19 adalah sederhana tinggi apabila menaiki kapal terbang.

Penjarakan sosial tidak dilaksanakan di dalam pesawat untuk memastikan harga tambang munasabah. Kalau yang duduk sebelah, anggota keluarga, kita sudah tahu status kesihatannya.

Bagaimana kalau orang lain? Virus korona menuntut perubahan kepada cara hidup individu sehinggalah cara operasi setiap organisasi.

Organisasi teknologi maklumat sudah lama mengamalkan kerja dari rumah tidak terjejas apabila “lockdown” bermula. Mereka terus bekerja dan bertemu dalam alam maya. Kakitangan organisasi ini merentas sempadan negara. Sistem perbankan sudah lama berhijrah ke teknologi maklumat.

Bank kini menambah pelbagai transaksi dalam talian. Transaksi pemindahan wang keluar negara yang dahulunya perlu dilakukan di premis bank, kini boleh dilakukan dari rumah atau pejabat.

Walaupun jumlahnya terhad, tetapi ini lebih baik daripada beratur lama di luar bank menunggu giliran mendapat perkhidmatan.

Dalam senario Covid-19 yang masih belum reda ini, penduduk Sarawak sememangnya beruntung. Beruntung sebab negeri ini diterajui oleh seorang pemimpin yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sudah pun menyediakan tapak kukuh bagi melonjak perubahan negeri ini. Covid-19 menuntut perubahan. Sarawak telah bersedia lebih awal.

Ketua Menteri Sarawak yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo sudah pun membaca masa depan. Beliau memperkenal sistem bayaran tanpa sentuhan iaitu Sarawak Pay yang kini dijenamakan semula sebagai S Pay.

Cara ini tidak memerlukan wang bertukar tangan. Beliau menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada 2017 bagi melonjakkan ekonomi digital di negeri ini. SMA bukan sahaja merangka strategi e-digital, tetapi membantu Kerajaan Negeri membangunkan perisian i-Alerts, COVIDTrace dan Qmunity untuk membendung penularan virus korona.

Banyak lagi inisiatif dilaksanakan oleh Abang Jo dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang siap siaga menangani perubahan. Sebelum “lockdown”, sukar kita memahami kesan perubahan. Covid-19 menuntut kita berubah. Perubahan bererti gangguan, kata Tom Peters dalam buku Thriving on Chaos (1987).

Sektor ekonomi yang tidak berubah sudah pasti terjejas. Hotel kini bergantung kepada pelancong dalam negara kerana pelancong asing tidak dibenarkan. Syarikat penerbangan antarabangsa paling teruk terjejas kerana mereka tidak boleh berubah.

• Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani ialah Pensyarah dan Penganalisis Komunikasi Strategik di Universiti Malaysia Sarawak