APA itu jalan tikus? Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat mentakrifkan ia sebagai jalan kecil atau lorong yang terdapat di kawasan perkampungan berdekatan sempadan atau hutan.

Kebiasaannya jalan tikus merujuk kepada laluan haram yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk memasuki sesuatu tempat atau sesebuah negara, tanpa membawa sebarang dokumen perjalanan sah.

Istilah jalan tikus begitu sinonim dengan warga Sarawak berikutan kedudukan negeri ini berdekatan sempadan, di antara Sarawak dengan Indonesia.

Lagi pula, ia sering kali menjadi tajuk utama media tempatan di sini, terutama akhbar. Jalan tikus biasanya wujud di kawasan tertentu yang strategik.

Misalnya persekitaran Bahagian Serian, yang menjadi tumpuan pihak penguat kuasa ekoran beberapa aktiviti penyeludupan masuk Pati dari negara jiran.

Jalan tikus dikenal pasti di kawasan ini, kerana lokasinya, yang betul-betul di sempadan kedua-dua negara. Laluan tersebut menjadi pilihan Pati untuk memasuki Sarawak secara haram, setelah tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penghujung Jun lalu.

Beberapa siri tangkapan dilakukan, termasuk kes serbuan pembinaan jambatan dengan membawa kenderaan berat seperti jengkaut untuk membuka laluan.

Terdahulu, 50 Pati ditahan ketika cuba masuk dan keluar menerusi kerjasama tekong darat yang didalangi warga tempatan.

Susulan itu, pihak penguat kuasa, terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak turun padang membuat pemantauan sepanjang masa.

Malah mereka ‘berkampung’ di kawasan tersebut, bagi membendung kemasukan secara haram, dan pada masa yang sama demi keselamatan negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19.

Tinjauan wartawan di beberapa buah lokasi, seperti Tebedu, Biawak, Serikin, Sapit dan Teluk Melano, rata-rata mempunyai pasukan khas daripada PGA Sarawak untuk berkawal.

Namun, kegiatan masuk melalui jalan tikus masih berleluasa ekoran beberapa siri tangkapan. Ia menunjukkan kewujudan tali barut yang menjadi ‘playmaker’ aktiviti tersebut, sehingga pintu sempadan Sarawak begitu mudah dibolosi.

Kebanyakan lokasi laluan haram ini di kawasan hutan belantara, yang bersempadan dengan laluan penduduk kampung berdekatan untuk ke kebun. Oleh itu, turut ditahan ialah pemilik kebun yang dipercayai memberi laluan kepada Pati untuk memasuki Sarawak.

Selagi ada tali barut, maka selagi itulah masalah tersebut akan berlarutan. Kawalan perlu diteruskan, malah perlu diperketat dari semasa ke semasa. Warga tempatan yang terlibat dalam aktiviti tersebut wajar diberi hukuman berat, setimpal dengan kesalahan mereka.

Pelbagai usaha telah kita lakukan, malah pihak kerajaan amat memandang serius isu tersebut. Namun, kita tidak boleh bergantung harap kepada pihak berkuasa semata-mata.

Oleh itu, kerjasama semua pihak, terutama penduduk kampung berdekatan sempadan amatlah diperlukan untuk membanteras kegiatan tersebut.

Segala maklumat mengenai kegiatan haram ini hendaklah diajukan kepada pihak berkuasa dengan segera, sebelum melarat. Persoalannya, masih ada dalam kalangan mereka yang membantu di pihak yang salah.