KUCHING: Sarawak akan terus menuntut peruntukan khas yang adil daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Artikel 112, Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rundingan mengenai perkara itu belum lagi selesai walaupun Kerajaan Persekutuan telah mem – berikan RM36 juta sebagai perun – tukan khas.

“Saya telah mempersoal formula untuk mendapatkan angka RM36 juta ini dan formulanya belum jelas dan belum diberitahu.

“Ini kerana saya berpandukan kalau kedudukan kewangan Malaysia baik, maka sudah tentunya ada formula untuk diberi kepada Sarawak.

Kalau keadaan kewangannya tidak baik, juga ada formula untuk kita turunkan peruntukan.

“Bagi saya, mesti ada formula untuk kita mendapatkan peruntu – kan khas yang sepatutnya diberi kepada Sarawak mengikut Artikel 112, Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa sesi temu bual khas bersama Suara Sarawak di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tidak tamak sebaliknya menerima jumlah peruntukan yang diberikan berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan ia hendaklah ber dasarkan formula yang betul dalam menentukan amaun perun tukan berkenaan.

“Ia mungkin boleh RM100 juta kalau keadaan kewangan negara baik dan kalau tidak baik, kita juga terima jika mendapat kurang daripada itu. Ini bergantung kepada keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan negara,” katanya.

Beliau menambah, amaun peruntukan khas itu juga tidak boleh ditetapkan kerana ini tidak adil. Ketua Menteri menjelaskan, sekiranya amaun ditetapkan dan keadaan ekonomi negara baik, maka Sarawak cuma mendapat amaun yang sudah ditetapkan itu.

“Jadi suasana keadilan tidak ada dalam agihan. Ia sepatutnya dilaksanakan di bawah Artikel 112, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.