LONDON: Gelombang kedua Covid-19 di Britain pada musim sejuk ini mungkin boleh menyebabkan 120,000 kematian di hospital sahaja dalam “senario terburuk yang munasabah”, demikian amaran sekumpulan saintis pada Selasa.

Laporan Akademi Sains Perubatan, yang ditugaskan oleh ketua penasihat saintifik kerajaan Patrick Vallance, mendesak tindakan segera diambil mengurangkan gelombang kedua.

Kumpulan 37 saintis yang terlibat dalam laporan itu mengatakan kerajaan perlu segera membuat persiapan kerana “risiko serius” terhadap kesihatan timbul jika berlaku lonjakan kes.

Dengan hospital juga bergelut memerangi kes selesema bermusim, gelombang kedua Covid-19 mungkin melangkaui wabak semasa yang boleh mengakibatkan sehingga 120,000 kematian antara September dan Jun tahun depan.

KETUA Penasihat Saintifik Britain, Patrick Vallance. – AFP

Pemodelan tersebut tidak termasuk kematian di pusat penjagaan atau komuniti lebih meluas, dan dengan andaian tiada tindakan pemerintah mencegah peningkatan kes baharu.

Britain setakat ini merekodkan hampir 45,000 kematian dalam gelombang pertama, jumlah tertinggi di England dan ketiga selepas AS dan Brazil.

Ramalan terbaru itu dibuat berdasarkan anggapan kadar R (yang mengukur berapa ramai orang dijangkiti boleh menjangkiti individu lain atau kadar kebolehjangkitan) meningkat kepada 1.7 peratus bermula September.

Saintis juga memodelkan kadar R pada peningkatan lebih rendah iaitu 1.5 yang menyebabkan 74,800 kematian. Kadar R pada masa ini adalah antara 0.7 hingga 0.9 di seluruh negara, menurut angka terbaru pemerintah diterbitkan pada Jumaat lalu.

Stephen Holgate mengetuai kajian Akademi Sains Perubatan, mengatakan angka 120,000 itu “bukan ramalan tetapi kemungkinan”. “Pemodelan menunjukkan kematian mungkin lebih tinggi akibat gelombang baharu Covid-19 musim sejuk ini, tetapi risiko kejadian ini dapat dikurangkan jika kita ambil tindakan.”

Wabak musim sejuk boleh menjadi lebih teruk kerana banyak masa dihabiskan di dalam rumah, dengan virus tersebar mudah, tambah Azra Ghani, dari Imperial College London. – AFP