KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyifatkan penangguhan pembukaan semula sekolah di tiga daerah negeri ini iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan sebagai langkah terbaik diambil oleh kerajaan untuk menangani penularan Covid-19. Presiden KGBS, Ahmad Malie berkata, tindakan itu amat bertepatan ekoran kes positif Covid-19 di sini, yang turut menjadi kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Sehubungan itu, katanya, KGBS menggesa agar ibu bapa dan penjaga yang berada di daerah-daerah tersebut dapat memastikan anak-anak berada di rumah sepanjang tempoh penangguhan sesi persekolahan ini.

“Penangguhan pembukaan sesi persekolahan yang diumumkan ini bukanlah cuti sekolah bagi murid-murid.

“Oleh itu, KGBS menggesa agar murid-murid mesti sentiasa berada di rumah,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, kelmarin.

Pada masa sama, Ahmad Malie berkata KGBS turut mengingatkan warga guru dan pelajar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard dalam usaha mengelak berlakunya gelombang kedua Covid-19 yang amat sukar dikenal pasti pembawanya.

“KGBS menyeru semua pihak mesti sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri dengan serius,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan bermula hari ini ditangguhkan ke 3 Ogos.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang media semalam, keputusan ini dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di Kuching yang semakin meningkat.

Jelasnya, ia juga dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, MKN Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Sarawak).

“Ini melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah dan sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 dan sekolah rendah bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4,” katanya.