MIRI: Tiga individu terselamat dalam kemalangan kendiri di hadapan sebuah hotel di Jalan Temenggong Datuk Oyong Lawai di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden malang itu membabitkan sebuah kenderaan yang hilang kawalan hingga terbabas, sekitar jam 10.30 malam.

Penumpang di bahagian belakang dilaporkan cedera dan kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut, manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan tumpahan minyak di atas jalan raya. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu untuk khidmat khas tumpahan minyak.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati ada tumpahan minyak disebabkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

“Anggota bomba mengambil pasir di kawasan berdekatan bagi menimbus tompokan minyak bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.