KUCHING: Pengendali van dan bas sekolah di Sarawak akan menerima bantuan ‘one-off’ RM600 di bawah pakej Bantuan Khas SarawakKu Sayang (BKSS) hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri menerima 408 permohonan bagi mendapatkan bantuan itu dalam tempoh fasa pertama antara 3 Jun dan 18 Jun lepas.

“Sejumlah 384 permohonan telah diluluskan selepas diperiksa dan disahkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (LPKP) Sarawak. Wang akan dimasukkan terus ke akaun bank kumpulan pertama penerima bantuan ini selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi mereka layak dan masih belum memohon bantuan ini, mereka dinasihatkan membuat pendaftaran secara dalam talian dengan melayari laman web https://mot.sarawak.gov.my atau datang sendiri kepejabat residen yang berhampiran.

Bantuan RM600 itu merupakan sebahagian daripada RM2.75 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak di bawah BKSS bagi meringankan beban ekonomi orang ramai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).