GENDANG sudah disediakan.

Cuma menunggu dipalu bagi menandakan bermulanya pilihan raya.

Sebab itu, hari ini, sana-sini orang sudah mula bercakap mengenai pilihan raya.

Dua pilihan raya kini ditunggu-tunggu – PRN dan PRU.

Adakah ia akan berterusan diadakan secara berasingan ataupun serentak?

Apa-apa sahaja boleh berlaku. Bagi PRN, ia terserah kepada Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari akan memalu gendang pilihan raya setelah menghadap dan menerima perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri.

Bagi PRU pula, ia akan ditentukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Maknanya, kedua-duanya akan menentukan tarikh gendang PRN dan PRU sesuai dipalu.

Bagi pemerhati politik, ahli politik kedai kopi dan sesiapa sahaja, pasti dapat mengagak tarikh sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Di Sarawak sendiri, ia sudah boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Tarikh yang semakin dekat ini dikuatkan lagi dengan pengumuman Abang Johari bahawa ada beberapa wakil rakyat Dun Sarawak akan mengundurkan diri.

Mereka bukan dipaksa untuk mengundurkan diri.

Yang pertama mengumumkan mengundurkan diri adalah Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz.

Selepas ini, akan ada lagi wakil rakyat lain yang akan memberikan laluan kepada muka-muka baharu untuk meneruskan perjuangan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Ini daripada blok kerajaan yang ditunjangi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, mungkin akan ada wakil rakyat bertukar kawasan ataupun ditukarkan dengan calon baharu yang pasti boleh menang.

Seterusnya, tidak akan ada ahli parlimen akan bertanding merebut kerusi Dun.

Kini, Abang Johari sedang menilai kad pretasi setiap wakil rakyat yang mewakili GPS.

Kad ini penting bagi memastikan wakil rakyat yang akan dicalonkan semula kelak memang benar-benar bekerja sepanjang tempoh penggal lalu.

Bukan culas turun padang menyantuni rakyat. Ini kerana setiap saat setelah diumumkan memang dan bergelar Adun di kawasan masing-masing, kudrat mereka adalah untuk rakyat.

Setiap petak pada kertas undi yang dipangkah untuk memenangkan mereka harus dibalas.

Tanda pangkah yang diberikan bukan untuk suka-suka tetapi mengharapkan balasan – pembangunan, kebajikan, prihatin rakyat dan sebagainya.

Jangan hanya ligat turun padang hanya pada musim pilihan raya. Rakyat ataupun pengundi sebenarnya tahu siapa YB yang rajin dan kurang turun padang.

Pengundi juga menyimpan kad prestasi YB, yang akan diterjemahkan ketika mengundi kelak.

Kepada YB yang akan bersara, terima kasih kerana banyak membawa pembangunan kepada rakyat.

Hilang akan berganti. Diharapkan muka baharu yang dicalonkan kelak meneruskan agenda untuk rakyat.

Jangan culas turun padang. Ingatlah! Kad prestasi anda juga ada pada rakyat.