KUCHING: Polis sedang menyiasat dan mengesan individu yang menyebarkan berita palsu mengenai penularan Covid-19 di Pasar Stutong.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata ia susulan daripada laporan yang diterima mengenai perkara itu.

“Perkara ini sedang disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Jadi polis memberi amaran kepada semua masyarakat supaya jangan menyebarkan perkara yang tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyempurnakan Majlis Penyematan Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak dan Penyerahan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah serta Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Aidi menambah polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengeluarkan berita palsu.

Katanya penyebaran berita palsu harus dihentikan kerana ia akan menggusarkan masyarakat terutama di bandar raya ini, yang ketika ini berdepan kes-kes baharu Covid-19 sejak beberapa hari lepas.

“Jadi jangan mengeruhkan lagi kebimbangan masyarakat terhadap penularan Covid-19 ini,” katanya.