KETIKA menulis pojok ini, ia merupakan tulisan terakhir atau ‘paluan berundur’ saya selaku Editor Eksekutif Suara Sarawak. Saya juga mengakhiri tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Editorial Kumpulan yang mengawal akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune.

Bertugas di sini sebenarnya menarik, mencabar dan luar biasa. Namun setiap yang bermula pasti berakhir, dan saya mengakhiri tugas ini dengan cukup bangga dan gembira. Saya menyertai organisasi ini secara ‘bidan terjun’ pada 28 Oktober 2018. Ia merupakan tarikh hari jadi saya apabila pada petangnya menerima panggilan untuk hadir ke mesyuarat penting di Hotel Hilton, Kuching.

Saya dan Dr Jeniri Amir sebelum itu mengemudi portal berita sarawakvoice, yang sambutannya begitu hangat dan menguja.

Kedua-dua kami tiba di hotel tersebut sekitar jam 10.00 pagi dan tanpa diduga, kami diminta bertemu dengan dua tokoh konglomerat terkemuka tanah air, yang ternyata telah berada di sana lebih awal lagi.

Setelah orang yang dinanti tiba, kami dibawa berbincang dengan dua tokoh tersebut. Rupa-rupanya kami diminta untuk mengambil alih akhbar New Sarawak Tribune pada ketika itu juga.

Tiada ruang untuk berasa ralat, tiada ruang untuk menolak, kami berlima hanya berbincang sekitar sepuluh minit sebelum berkejar ke pejabat syarikat akhbar tertua Sarawak itu, yang terletak lapan minit perjalanan.

Setiba di pejabat tersebut, saya dan Dr Jeniri diminta menunggu di bilik mesyuarat, dengan Tan Sri yang menjadi pengerusi syarikat memanggil pemegang taruh yang lain. Ia satu perasaan yang bercampur baur kerana tepat 18 tahun sebelum itu, saya telah melangkah keluar sebagai bekas kakitangannya.

Saya mula menyertai Utusan Sarawak pada usia 19 tahun pada 1994 sebagai pemberita kadet dan meningkat dengan cukup mendadak dalam tempoh empat tahun. Saya belajar dengan cukup cepat dan antara guru saya ialah Dr Jeniri (Editor Eksekutif pada waktu itu), Mohamad Kassim (sekarang Datuk) dan Khaidir Ahmad, bekas Editor Berita TV3.

Justeru itu, setelah lama meninggalkan pejabat tersebut, siapa sangka saya akan kembali lagi.

Di bilik mesyuarat tersebut, ketika baharu sehari berusia 43 tahun, saya dilantik sebagai COO. 24 jam berikutnya, saya berada di pejabat sendiri dan terus ditugaskan untuk memantau, merancang dan mengubah gaya pemberitaan New Sarawak Tribune. Dalam masa yang sama, saya bertanggungjawab untuk merangka pelan untuk menubuhkan akhbar Suara Sarawak.

Saya amat bersyukur kerana berdasarkan pengalaman dan jaringan perniagaan sebelum itu, saya akhirnya berjaya melaksanakan strategi pemerolehan lesen penerbitan akhbar, yang pada mulanya agak mustahil.

Setelah segala urusan pelesenan berjaya dilaksanakan, kami berusaha mendapatkan pejabat baharu. Pada masa yang sama, kami mula merekrut dan melatih kakitangan sambil merancang kandungan akhbar. Pada 1 Mac 2019, kami muncul dalam bentuk tabloid, memberi kejutan kepada pasaran. Kami memilih gaya kewartawanan baharu dan persembahan bertenaga untuk tatapan pembaca.

Tidak ramai yang tahu, di sebalik penerbitan julung itu, kami sebenarnya beroperasi di pejabat tumpangan. Pejabat syarikat masih dalam proses renovasi dan pembelian peralatan masih dilakukan. Kebanyakan wartawan kami masih muda dan kami meminta mereka bekerja dari rumah masing-masing (amalan yang diteruskan hingga kini). Mereka hanya ke pejabat seandainya diminta untuk menghadiri perbincangan dan mesyuarat.

Semuanya berlangsung dengan baik, biarpun ada pihak yang secara terang menjangkakan kami hanya akan bertahan selama tiga bulan. Kami menganggapnya sebagai cabaran. Kami percaya dengan gabungan kakitangan baharu dan lama (terutama dari aspek laporan dan reka bentuk), kami akan dapat berlari jauh.

Kami berjaya melepasi zon-zon cabaran dengan sempurna dan akhbar ini mula menjadi pilihan penduduk di negeri ini. Malah sambutannya cukup baik di luar bandar, ketika akhbar lain terutamanya akhbar nasional mula mengecilkan operasi.

Ya, kami muncul ketika kebanyakan organisasi media di dunia gulung tikar, mengecilkan operasi dan menukar platform penerbitan. Sebagai Editor Eksekutif, saya dan rakan-rakan sentiasa berbincang tentang cara untuk menambah baik akhbar ini.

Kerana itulah, pada hari ini, ia mempunyai kolaborasi yang baik dengan akhbar nasional seperti Berita Harian dan Sinar Harian, selain Bernama. Malah pertukaran bahan berita juga berlaku dengan akhbar The Pontianak Post, dan akan datang dari beberapa negara jiran lagi.

Setelah setahun empat bulan, saya dapat lihat bayi yang saya tatang kini menjadi kanak-kanak riang dan akan terus disayangi. Persembahannya akan terus cemerlang dan dinamik, kerana itulah asas utama kewujudannya. Ia tidak boleh statik, dan kerana itu ia memiliki portal, audio visual serta e-paper yang dapat diakses lebih pantas menerusi media sosial.

Sebagai antara pengasas akhbar ini, dan pemimpin pertamanya, saya yakin Suara Sarawak akan terus jadi pilihan. Menjadi rujukan dan kekal relevan untuk berita yang sahih dan benar.

Terima kasih kepada mereka yang setia menyokong dan mempercayai kebolehan akhbar ini.

Ia bukan sekadar akhbar, kerana ia jiwa kita orang Sarawak.