BARU-BARU ini seorang lelaki tempatan diberkas polis setelah disyaki melakukan hubungan sumbang mahram sehingga menyebabkan anaknya yang berusia 23 tahun mengandung di sebuah rumah, Kampung Sadong Jaya.

Suspek yang berumur 52 tahun itu merupakan seorang duda, kematian isteri dan bapa kandung kepada tiga orang anak, termasuk mangsa.

Hasil siasatan awal mendapati suspek sudah dua kali melakukan hubungan seks dengan anaknya ketika mereka menetap bersama di sebuah rumah sewa di Batu Kawa pada 2016 dan mengulangi perbuatan tersebut pada Februari lalu.

Sementara itu, di Kuching, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang menghidap kanser paru-paru tahap empat dijatuhi hukuman penjara 70 tahun dan 20 sebatan selepas didapati bersalah merogol cucunya yang berusia 12 tahun.

Penyakit gagal menahan nafsu serakah ini tidak akan menghirau status mangsa, walaupun zuriat sendiri, malah apabila nafsu mengawal akal, dalam keadaan sakit pun mereka sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini. Rogol dan sumbang mahram bukanlah masalah baharu, namun ia kelihatan belum reda walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk membendung nafsu gila ini.

Lebih menyedihkan kes sumbang mahram bagaikan semakin menjadi-jadi, membuktikan runtuhnya institusi keluarga itu sendiri. Bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak, bukannya menjadikan anak sebagai tempat untuk ratahan nafsu.

Anak-anak perempuan sering kali diingatkan agar berhatihati apabila bergaul dengan rakan-rakan di luar sana, malah mereka juga diingatkan agar tidak keluar bersendirian, bagi mengelak risiko dirogol dan seumpamanya. Tetapi anehnya, mereka ini sebenarnya lebih bahaya apabila berada di dalam rumah gara-gara kerakusan ahli keluarga sendiri, bapa, datuk atau abang. “Harapkan pegar, pegar makan padi”.

Ia bukan sahaja memberi kesan besar terhadap mangsa, seperti trauma, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada keluarga itu sendiri. Misalnya dicaci, dihina orang sekeliling. Jadi ia turut memberi kesan kepada ahli keluarga lain yang tidak bersalah.

Mereka menerima tempiasnya, gara-gara perbuatan bapa. Mereka akan hilang kepercayaan dan hilang rasa hormat, menyebabkan hubungan kekeluargaan rengang. Kemesraan yang pernah terbina sebelum ini, kini menjadi kebencian.

Keruntuhan moral dan akhlak ini boleh meruntuhkan institusi masyarakat jika ia berleluasa. Wawasan negara untuk melahirkan masyarakat penyayang dan individu yang seimbang dari segi moral, jasmani dan rohani tidak akan menjadi kenyataan sekiranya anak-anak yang tidak berdosa menjadi bahan cemuhan dan hinaan masyarakat.

Gagal mengawal nafsu dan kurangnya didikan agama dikenal pasti sebagai punca utama permasalahan tersebut. Oleh itu, kerjasama semua pihak amatlah penting bagi menangani masalah tersebut.

Program dan kempen kesedaran perlu diperbanyakkan dari semasa ke semasa, terutama di peringkat kampung, daerah dan bahagian. Pendidikan di peringkat akar umbi amatlah penting, terutama di peringkat tadika mahupun sekolah rendah.

Seberat manapun hukuman atau amaran, jika individu itu sendiri tidak mempunyai kesedaran yang tinggi, serta kurang didikan agama, maka sukar bagi mereka untuk membendung nafsu yang telah menguasai akal ini.

Oleh itu, pendidikan agama mesti bermula di peringkat akar umbi, kerana kita mahu melahirkan generasi masa depan yang berakhlak dan mempunyai etika kemanusiaan yang tinggi.