KUCHING: Kerajaan Sarawak komited membantu rakyat Sarawak berdepan pascapandemik Covid-19 termasuk memberikan potongan bil air kepada semua pengguna di negeri ini.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ini salah satu langkah yang dijalankan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Sebelum wabak Covid-19 melanda, Kerajaan Sarawak memperkenalkan program ini termasuk menyediakan air percuma dengan potongan sebanyak RM5 pertama setiap bil air berkuat kuasa 1 Januari 2020.

“Air percuma RM5 tersebut bersamaan dengan kira-kira 11,300 liter air.

“Ia salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan beban kewangan rakyat terutamanya masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Tambahnya, kos air percuma ini diperuntukan Kerajaan Sarawak kepada rakyat menelan kos kira-kira RM40 juta setahun.

“Ekoran wabak Covid-19 yang melanda, Kerajaan Sarawak memulakan 16 langkah proaktif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

“Salah satu daripadanya memberikan potongan bil air selama enam bulan, berkuat kuasa 1 April 2020 hingga 30 September 2020,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, di bawah inisiatif tersebut, isi rumah dengan akaun domestik menikmati boleh diskaun sebanyak 25 peratus.

Manakala pengguna komersial menikmati diskaun 15 peratus sementara pengguna industri menikmati potongan 10 peratus.

“Potongan bil air berkenaan dijangka menelan belanja RM25.26 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 570,000 pengguna di seluruh Sarawak.

“Potongan harga itu merupakan sebahagian daripada langkah BKSS yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Mac lalu untuk membantu rakyat menghadapi impak Covid-19,” tegasnya.

Beliau juga memberitahu akan terus bekerjasama dengan semua agensi bekalan air seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd.

“Perkara ini bagi memastikan rakyat di negeri ini mempunyai akses 100 peratus untuk liputan yang boleh dipercayai, berkualiti, cekap dan utiliti yang berpatutan menjelang tahun 2025,” katanya lagi.