LIMBANG: Nasib nelayan di Limbang akan terus dibela, kata Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Kemajuan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Katanya, Kerajaan Sarawak memberi perhatian bagi meningkatkan ekonomi golongan nelayan di daerah ini.

“Pelbagai inisiatif serta bantuan daripada Kerajaan Sarawak akan diberikan kepada golongan ini.

“Ini termasuk bantuan untuk menjaga kebajikan bagi memastikan bekalan ikan sentiasa ada untuk masyarakat setempat.

“Kerajaan akan menyediakan kemudahan serta prasarana kepada mereka di samping berusaha meningkatkan pendapatan melalui pelbagai bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Limbang (PNKL) di Bilik Mesyuarat Pusat Komuniti Pembangunan Melayu, kelmarin.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, dalam pertemuan itu, mereka akan membincangkan hala tuju PNKL Limbang pada masa akan datang. Hadir sama Pengerusi PNKL Limbang Tambi Untung dan Pengurus PNK Limbang Winnie Sendi Douglas Dian.