KUALA LUMPUR: Satu kluster baharu dikesan di sebuah pasar di Stutong, Sarawak, dan dikenali sebagai Kluster Stutong, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, 218 orang penjaja di kawasan itu telah disaring terdiri daripada 213 warga Malaysia dan lima bukan warganegara – China (tiga orang), Indonesia (satu) dan Vietnam (satu).

Beliau berkata, daripada jumlah saringan itu, 56 orang telah disampel dan mendapati dua kes dikesan positif COVID-19, manakala baki 54 orang adalah negatif.

“Kluster ini dikesan hasil saringan COVID-19 bagi penjaja-penjaja pasar itu, yang dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu.

“Pasar ini telah ditutup buat sementara waktu, bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu berhubung status terkini Kluster Mambong, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah lima kes positif COVID-19 dilaporkan, daripada 70 orang yang telah disaring dalam kluster itu setakat pukul 12 tengah hari ini.

“Seramai 65 orang masih menunggu keputusan. Kluster ini melibatkan warga Malaysia dan satu bukan warganegara, iaitu warga Filipina, yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8732),” katanya sambil menambah, punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, seramai 96 orang telah dibawa pulang hari ini, dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Membawa Rakyat Malaysia Pulang dari New Delhi, India, yang berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Mereka ditempatkan dalam pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, untuk tempoh selama 14 hari, bagi menjalani kuarantin mandatori.

“Ia dijalankan di pusat pemantauan yang ditetapkan, dan bukan sebagai ‘Home Surveilance Order’, dengan mengambil kira kumpulan ini telah kembali dari negara yang berisiko tinggi, dengan jangkitan COVID-19.

“Pemantauan kesihatan dilakukan oleh petugas-petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Seremban, Negeri Sembilan dan saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari, bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini,” katanya.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau aspek kesihatan mereka dan memaklumkan dari semasa ke semasa.

Kesemua 72 lelaki dan 24 perempuan dengan pecahan 92 dewasa dan empat kanak-kanak, telah menjalani saringan kesihatan oleh petugas kesihatan yang bertugas, di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

Swab sampel Nasopharyngeal, telah diambil di pintu masuk KLIA untuk ujian makmal pengesanan COVID-19 bagi 88 orang (lapan orang ahli keluarga petugas kedutaan telah menjalankan ujian sebelum berlepas di India, dan didapati negatif COVID-19).

Kesemua 96 rakyat Malaysia mendarat di KLIA pada 6.31 pagi, menaiki pesawat Malindo Air OD02028 dari New Delhi, bersama 11 krew penerbangan.