PENANGGUHAN sekolah di tiga daerah Kuching, Samarahan dan Padawan bagi kelas bukan peperiksaan dilihat satu tindakan drastik yang tepat kerana bandar ini dihambat kes baharu positif Covid-19 selepas beberapa seketika ia mencapai angka sifar.

Tidak membenarkan tadika dan taska dibuka juga wajar apabila lonjakan penularan tempatan amat membimbangkan. Ini wajar selepas kluster baharu dikesan di bandar Kuching.

Dalam kita sibuk berbicara mengenai keluh-kesah ibu bapa dengan isu pembukaan sekolah, kita lupa untuk menoleh SOP yang ada di kedai makan.

Boleh dikatakan semua kedai makan sudah tidak kisah lagi dengan penjarakan sosial malah tidak mengamalkan terus pematuhan dengan memeriksa suhu badan dan menggalakkan pemakaian pelitup hidung.

Peningkatan kes mendadak di Kuching menimbulkan kebimbangan dan nitizen mula berbicara mengenai penguncian semula bandar Kuching kepada orang luar. Tiada masuk dan keluar Kuching – kata nitizen dan ramai yang mempertikaikan aspek penguatkuasaan di kedai makan.

Ada kedai yang menyediakan meja yang menempatkan kerusi sehingga enam tempat duduk. Lebih menarik ada kedai langsung tidak kisah mengenai kapisiti dan SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh fasa pemulihan.

Ingatlah wabak Covid-19 belum berakhir dan jihad kita menentangnya juga belum berakhir. Justeru, orang ramai perlu lebih prihatin ketika berada di tempat awam dan seandainya ada ahli keluarga mempunyai simptom seperti batuk dan selesema, seharusnya kekal berada di rumah bagi mengelakkan jangkitan terutama kepada kanak-kanak.

Namun, orang ramai perlu beringat, kepatuhan terhadap SOP serta kawalan kendiri amat dituntut kerana misi untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di negara ini belum selesai.

Meskipun, penularan Covid-19 di negara ini masih rendah dan kita tidak mahu penularan tempatan mencanak naik, penduduk tidak sepatutnya mengambil mudah arahan kawalan kendiri seperti tidak mengamalkan jarakan sosial serta pelitup muka apabila keluar rumah.

Jika diisytiharkan zon hijau sekali pun, jangan abaikan penjarakan sosial serta kebersihan diri yang lain kerana kebolehjangkitan semula Covid19 masih boleh berlaku.

Dan kita sebenar masih terlalu awal untuk membuat tindakan dan menganggap wabak ini berakhir kerana kawalan mesti diteruskan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibanteras.

Sebaliknya, orang ramai masih mempunyai tanggungjawab memerangi pandemik itu dengan mempertingkatkan kawalan kendiri dan mematuhi SOP fasa pemulihan.