FAKTOR calon penting bagi menentukan kejayaan dalam sesuatu pilihan raya, juga boleh menentukan kegagalan sesebuah parti politik.

Ini kerana saya tertarik dengan pandangan beberapa penyelidik mahupun penulis dalam menentukan faktor kejayaan sesuatu pilihan raya. Saya mulakan dengan contoh paling dekat dengan kita iaitu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem. Beliau membahasakan dirinya dengan panggilan mesra Tok Nan.

Dalam tempoh kurang tiga tahun memimpin Sarawak, Tok Nan telah menunjukkan tahap kepemimpinan yang disayangi rakyat negeri ini.

Kehilangan Tok Nan seperti satu permata yang tiada tolok bandingnya. Apakah kehebatan sebenar yang ada pada diri Tok Nan sehingga berjaya mengembalikan semula kerusi pembangkang kepada tampuk pimpinan BN Sarawak pada PRN Sarawak pada 2016?

Politik pemerintahan Tok Nan membuktikan beliau mampu mengubah ayunan undi yang begitu kuat daripada pihak pembangkang yang beralih kepada parti pimpinan Tok Nan.

Ini dapat dibuktikan apabila BN Sarawak memperoleh kemenangan selesa iaitu 72 kerusi daripada 82 kerusi Dun yang dipertandingkan.

Hal ini nampak lebih jelas apabila lima kerusi selesa pembangkang berjaya dirampas semula oleh BN Sarawak seperti Dudong, Meradong, Piasau, Batu Kawa dan Repok. Malah turut berjaya mengurangkan majoriti undi pembangkang di Sarawak pada ketika itu.

Dengan kemenangan ini, ia telah mewujudkan fenomena “demam Adenan” atau paling popular dikenali sebagai “Team Adenan” mahupun “Adenan Way” dalam kalangan rakyat Sarawak.

Apa yang menyebabkan Tok Nan dalam tempoh yang singkat memimpin Sarawak menjadi pilihan rakyat? Ratarata rakyat suka dengan polisi Tok Nan yang dilihat bermanfaat kepada rakyat, sekali gus membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup seperti menghapuskan tol, tuntutan royalti, isu Perjanjian Malaysia 1963 dan penurunan cukai pintu untuk isi rumah.

Pengaruh Tok Nan mempunyai signifikannya sendiri kerana ia terkesan khasnya kepada BN Sarawak. PRK Dun Tanjong Datu diadakan pada 18 Februari 2017 berikutan kematian penyandang – Tok Nan pada 11 Januari 2017 adalah buktinya.

Kesimpulan kajian sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai Junaidi Awang (2018) bahawa kawasan Dun Tanjong Datu yang terletak dalam Parlimen Santubong merupakan antara kubu kuat dan mengekalkan status quo PBB-BN di Sarawak. Ia amat sukar ditembusi parti lawan.

Ini terbukti apabila setiap kali PRN di kawasan ini, calon parti lawan pasti tewas dengan ‘hilang wang deposit’. PRK kawasan ini diadakan tidak sampai setahun PRN pada tahun sebelumnya iaitu 7 Mei 2016.

Justeru, dapatan kajian penyelidik ini menegaskan bahawa kredibiliti, karisma dan jasa kepemimpinan Tok Nan yang pernah menjadi Adun di kawasan tersebut sejak 2006 mempengaruhi pengundi untuk memilih balu Tok Nan, Datuk Amar Jamilah Anu.

Penampilan Jamilah sebagai calon PRK itu, seolah-olah mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkan Allahyarham. Jamilah dilihat sebagai calon yang berupaya meneruskan 162 kesinambungan agenda pembangunan Adenan.

Ini sudah pasti meletakkan pengundi Tanjong Datu untuk terus menyokong BN. Sehubungan itu, kumpulan penyelidik berkenaan juga memerhatikan bahawa sentimen simpati, kenangan indah dan balunya mewakili Tok Nan.

Sentimen ini diterjemahkan dalam bentuk undi. Kedua-dua calon pembangkang hilang wang deposit kerana mereka dari luar Daerah Lundu, iaitu dari Daerah Serian.

Sudah tentu mereka tidak mendapat sokonan pengundi di Tanjong Datu. Kerusi Tanjong Datu merupakan kubu kuat BN dan calon BN mendapat undi simpati; ini diiringi dengan faktor lain seperti lawatan oleh menteri persekutuan yang sudah tentu mempengaruhi pengundi untuk mengundi calon BN.

Faktor calon juga memainkan peranan utama sebagai strategi faktor kemenangan BN di PRK Cameron Highlands mempengaruhi pengundian juga disarankan oleh kumpulan Penyelidik Institut Darul Ehsan. PRK Cameron Highlands merupakan pertembungan ketara dua demografi komposisi kaum yang besar jurangnya antara Dun Tanah Rata dan Dun Jelai.

Kumpulan penyelidik IDE ini menegaskan bahawa sentimen orang Melayu khususnya di luar bandar seperti Dun Jelai masih sukar menerima Dap sebagai calon. Sentimen dan isu perkauman yang dibangkitkan amat menjadi keprihatinan khususnya Melayu luar bandar.

Analisis tersebut juga menyatakan, kegagalan PH menawan Parlimen Cameron Highlands disebabkan orang Melayu masih tidak yakin parti politik kaum itu dalam pakatan mampu menjadi wadah utama memperjuangkan hak mereka.

Seterusnya ialah kemenangan BN pada PRK Dun Semenyih, yang membuktikan faktor calon sebagai penentu sokongan pengundi terhadap parti itu.

Menariknya, Amir Mamat (3 Mac 2019) menegaskan bahawa pemilihan Zakaria Hanafi sebagai calon BN bertepatan dengan kehendak pengundi yang mahu wakil mereka bukan dalam kalangan pemegang jawatan utama dalam parti, sama ada pada peringkat pusat, negeri mahupun bahagian.

Kaedah ini menampakan kesannya dan perlu dipraktikkan dalam pemilihan calon pada PRU-15 kelak. Hal yang sama juga berlaku di PRK Cameron Highlands.

Calon BN iaitu Ramli Mohd Nor bukan pemegang jawatan dalam parti, sebaliknya hanya aktif sebagai aktivis masyarakat, mampu membawa kemenangan kepada BN. Situasi sama dilakukan oleh Umno pada PRK Dun Semenyih. Umum juga menidakkan aura kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (walaupun sudah berusia 93 tahun ketika itu) memiliki pengalaman luas dalam politik.

Tidak dapat dinafikan beliau sebagai antara penyumbang kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14. Tetapi paling utama ialah berlaku penolakan majoriti pengundi terhadap BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana muak dengan kenaikan kos sara hidup dan isu pentadbiran.

Berdasarkan pandangan Dr. Jeniri Amir (2018), beliau mengatakan bahawa pengundi di Sabah dan Sarawak juga kelihatan tidak mempedulikan isu-isu lampau Dr Mahathir yang berkaitan dua negeri ini. Ini adalah kerana majoriti rakyat berpendapat Tun Mahathir boleh dijadikan tempat bergantung harap untuk menyelesaikan pelbagai isu dalam negara dan mereka melihat kesilapan dalam pentadbiran beliau sebelum ini tidak akan diulangi.

Berbeza pula keadaannya apabila faktor silap pilih calon juga menjadi penyebab keengganan pengundi untuk memilih calon tertentu. Contohnya kemenangan calon PKR di Puncak Borneo disebabkan dua faktor, iaitu silap pilih calon yang terpalit dengan isu tanah dan kegigihan Willie Mongin sejak sekian lama.

Justeru, pilihan adalah di tangan pengundi bagi menentukan kriteria pemilihan calon. Apakah kita mencari calon berdasarkan bakal wakil yang bertanggungjawab mewakili rakyat dengan mementingkan keperluan dan kehendak rakyat tanpa mementingkan diri sendiri dalam membuat keputusan, atau bagaimana?