KUCHING: Sejumlah 29,464 petugas barisan hadapan menerima Insentif Bulanan Untuk Kakitangan Barisan Hadapan di bawah BKSS untuk tempoh April hingga Jun 2020.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, petugas barisan hadapan menerima insentif pembayaran sebanyak RM200 sebulan dengan jumlah perbelanjaan RM12.64 juta.

“Antara mereka yang layak menerima adalah KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PDRM, Bilik Gerakan Negeri (Bilik Ops), ATM, Rela, Bomba, Kastam, APM dan Media,” katanya.

Bagi bantuan untuk penjaja dan peniaga kecil mendedahkan sejumlah 15,829 penjaja layak setelah disahkan oleh PBT.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 9.623 penjaja telah dibayar melalui Sarawak Pay dan 6.206 penjaja dibayar melalui BSN.
“Bagi insentif Pemilik dan Pengendali Penambang Berdaftar dengan Lembaga Sungai Sarawak (SRB) semalam (17 Julai) sejumlah 149 penambang telah dibayar dengan jumlah perbelanjaan RM74,500.

“Bagaimanapun, terdapat 17 penambang masih menunggu pembayaran dan 33 menunggu pengesahan daripada pihak SRB,” jelasnya.

Kenyataan itu juga mendedahkan bahawa, setakat semalam sejumlah 257 pengendali van berlesen menunggu pengesahan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Kira-kira 384 Pengendali van dan bas sekolah masih menunggu pembayaran dan sebanyak 840 pemandu teksi telah menerima insentif dengan jumlah perbelanjaan RM504,000.99.

“Bagaimanapun, masih ada pemandu teksi berada dalam proses pembayaran dan 74 menunggu pengesahan dari LPKP,” tegasnya.

Bagi Bantuan Geran Khas kepada Lesen Pelancongan dan Pemandu Pelancong setakat semalam, sejumlah 236 Lesen Pelancongan dan Pemandu Pelancong telah menerima pembayaran insentif dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM354,000.

Untuk rekod, kesemua bantuan yang disenaraikan di atas adalah daripada Insentif Pembayaran Tunai BKSS lain pada 17 Julai 2020, semalam.