KUCHING: Sejumlah 369,139 isi rumah B40 layak menerima Insentif BKSS pada 17 Julai 2020, semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, jumlah tersebut termasuk mereka yang disenaraikan dalam Bantuan Sara Hidup (BSH) pada 2019 melibatkan 406,234 bilangan isi rumah B40.

Katanya, bagi BSH 2020 sejumlah 369,139 bilangan isi rumah B40 yang dikemas kini termasuk mereka yang mengemukakan rayuan kepada LHDN.

“Berdasarkan senarai BSH 2019 sejumlah 406,234 penerima isi rumah B40 menerima pembayaran dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM304.68 juta.

“Manakala berdasarkan senarai BSH 2020 yang dikemas kini dan belum menerima pembayaran adalah 78,123, ia juga merangkumi 28,372 rayuan isi rumah B40 yang diluluskan melalui Pejabat Daerah dan menerusi sistem dalam talian,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sejumlah 78,123 isi rumah B40 akan dibayar pada akhir Julai 2020 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM117.18 juta.

Dalam hal berkaitan, sejumlah 419,395 rakyat Sarawak berstatus bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan di bawah RM2,000 sebulan layak menerima insentif BKSS.

“Jumlah tersebut termasuk mereka yang disenaraikan dalam BSH 2019 dan BSH 2020 yang telah dikemas kini berdasarkan rayuan yang dikemukakan kepada LHDN.

“Sejumlah 114,683 penerima berstatus bujang dalam golongan B40 telah menerima pembayaran dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM57.21 juta.

“Manakala, sejumlah 270,863 lagi belum menerima pembayaran, dan angka itu juga merangkumi 127,819 mereka yang diluluskan melalui Pejabat Daerah dan sistem menerusi sistem dalam talian,” ujarnya.

Kenyataan itu juga mendedahkan bahawa, sebanyak 270,836 individu bujang akan dibayar pada akhir Julai 2020 dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM135.43 juta.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan BKSS dalam beberapa fasa bagi membantu rakyat Sarawak dalam menghadapi kesukaran ketika pandemik Covid-19.