KUCHING: Pertambahan 10 kes positif Covid-19 di Sarawak semalam memberi kesedaran buat semua bahawa Sarawak memasuki gelombang kedua ancaman Covid-19.

Itu jelas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berhubung dengan pertambahan 10 kes positif baharu semalam yang dilaporkan di Daerah Kuching (4), Samarahan (2) dan Bintulu (2), manakala enam kes tersebut merupakan kes import luar dari Sarawak.

Katanya, dua kes positif membabitkan bukan warganegara yang merupakan kontak rapat kes positif pada 13 Julai lalu di atas kapal LNG Jupiter.

“Dua positif daripada 30 kru yang disaring manakala empat kes lagi pula melibatkan warganegara balik dari luar negara.

“Mereka sedang menjalani kuarantin 14 hari dan dua berasal dari Kuching dan dua lagi berasal dari Samarahan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Jelasnya lagi, enam kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala bahawa mereka dijangkiti Covid-19.

Selain itu tegas Uggah, satu kes pula melibatkan seorang wanita warga emas dari Daerah Kuching yang mendapat rawatan di Klinik Kesihatan dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 9 Julai kerana mengalami sesak nafas dan menjalani saringan pada 16 Julai.

“Kes ini merupakan jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi,” jelasnya.

Kes kelapan melibatkan pekerja kesihatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes ke-582 yang dikesan pada 15 Julai lalu, dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, diikuti dua kes yang mendapatkan saringan kendiri di pusat rawatan swasta.

“Bagi kes saringan kendiri ini, mereka tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. Punca untuk kes ini masih dalam siasatan,” ujarnya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumkan bahawa tiada kes baharu yang sembuh dan didiscaj dari hospital semalam

“Ini menjadikan keseluruhan kes positif yang didiscaj dan sembuh sebanyak 554 orang (93.27 peratus).

Semalam sahaja, 23 kes di bawah pengawasan (PUI) baharu dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujian makmal.