TATAU: Sejumlah 18 keluarga membabitkan 135 penghuni di rumah panjang Tuai Rumah Lanting Depong di Nanga Gun, Sungai Arip hilang tempat berteduh selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran sekitar 11 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.29 malam Sabtu melalui talian MERS 999.

Sebuah jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota dari BBP Tatau dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

Operasi memadam kebakaran turut mendapat bantuan sebuah jentera bomba dengan enam anggota dari BBP Selangau.

“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati keseluruhan rumah panjang 18 pintu berstruktur tidak kekal musnah 100 peratus.

Kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa kerna penghuni semua sempat menyelamatkan diri.

Sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan kerana keluasan kawasan rumah panjang yang terbakar adalah agak besar.