KUCHING: Sarawak kini kemungkinan berdepan dengan gelombang kedua Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Justeru beliau mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk bersedia menghadapi apa-apa juga kemungkinan berlaku termasuk persediaan petugas barisan hadapan.

Katanya, pada Isnin JKNS memaklumkan mengenai kesiapsiagaan dan keperluan peralatan perlindungan diri dan Kerajaan Sarawak akan memastikan keperluan barisan hadapan mencukupi.

“Jawatankuasa juga akan terus mengadakan ujian rawak percuma di beberapa pasar awam. Ini bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai tetapi kita mesti bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.

“Begitu juga dengan kontak rapat kes positif di Kuching untuk tampil membuat saringan di klinik kesihatan yang berdekatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, kelmarin.

Uggah juga memaklumkan semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara diwajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, SOP tersebut dibuat berikutan pertambahan 10 kes positif Covid-19 di Sarawak kelmarin.

Manakala ujian Covid-19 pada hari kedua dan hari ke-10 mereka juga akan diambil untuk pengesanan Covid-19.

Selain itu katanya, JBPNS juga meletakkan garis panduan SOP untuk pelbagai sektor dan aktiviti yang lain.

Uggah juga memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan menetapkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi fasa ketiga dan keempat yang melibatkan sukan berpasukan dan sukan individu serta permotoran berkuat kuasa serta-merta.

Setakat kelmarin, sebanyak 1,856 premis telah dipantau iaitu melibatkan pasar raya (352), restoran (382), kilang (16), bank (185), pejabat kerajaan (90), penjaja (43), pasar tani dan awam (91) tempat ibadah (68), tempat riadah (58), tapak pembinaan (19) dan lain-lain (552).