DARO: Golongan belia disaran menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam melahirkan lebih ramai pemimpin muda dengan menyertai program dan aktiviti yang dapat mengasah bakat kepimpinan sebagai persiapan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin generasi baharu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belia menerokai potensi masing-masing sebagai pemimpin kerana rakyat menaruh harapan besar kepada mereka untuk meneruskan usaha pemimpin sedia ada.

“Justeru, belia harus menggunakan masa yang ada sekarang untuk menerokai peluang menceburkan diri dalam kepimpinan yang boleh memberi maklumat dan pengetahuan bagaimana menjadi pemimpin berwibawa.

“Gunakan masa yang terluang dengan aktiviti yang membawa faedah, termasuk mempelajari banyak perkara mengenai kepimpinan yang baik.

“Ia boleh mengasah bakat serta potensi diri mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Belia Sarawak 2020 di Dewan Masyarakat Daro, di sini semalam.

Abdul Karim juga menggesa masyarakat tempatan memberi sokongan dan kerjasama membentuk golongan belia yang berpotensi untuk menjadi pemimpin yang berjaya, sekali gus dibimbing untuk mencapai matlamat bersama.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak yang memasuki siri ke-11 ditunda beberapa bulan berikutan pandemik Covid-19, kini disambung semula dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program tersebut ialah sesi lawatan ke pekan bersama-sama pemimpin, sesi perkenalan belia dan ceramah motivasi bersama ikon belia Sarawak, Ahmad Qadri Basri.

Turut hadir Adun Daro Safiee Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap KBSS Nancy Jolhie dan Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir.