MUKAH: Pertembungan sebuah motosikal bersama pikap berakhir tragedi setelah penunggangnya maut serta-merta di lokasi kemalangan di Kilometer 9, Jalan Selangau-Mukah, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.18 tengah hari menerusi saksi yang berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa, penunggang motosikal dikenali sebagai Lusei Lejau berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh paramedik Klinik Kesihatan Selangau.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa sebuah Toyota Hilux dinaiki dua individu bergerak dari arah Selangau menuju ke arah Mukah telah dilanggar dari arah hadapan oleh sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Pertembungan berpunca setelah motosikal tersebut datang dari arah hadapan telah memasuki laluan bertentangan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan kedua-dua individu yang berada di pikap terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan bedah siasat dijalankan.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.