KUCHING: Adun Lambir Ripin Lamat dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak baharu.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, beberapa ahli lembaga pengarah turut dikekalkan dan ada antaranya dilantik semula.

“Justeru, saya berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan Persekutuan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalannya Hasbi Habibollah kerana mempercepatkan pelantikan ahli lembaga pengarah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Kim Shin berharap kementeriannya dapat bekerjasama rapat dengan LPKP Sarawak untuk membolehkan fungsinya berjalan lancar terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan Sarawak ditubuhkan pada 22 Ogos 2019 dan salah satu fungsinya adalah memberikankan taklimat untuk semua agensi Persekutuan berkaitan termasuk pengangkutan jalan raya, udara dan laut seperti diterbitkan dalam Warta Sarawak, Vol. LXXIV No. 83.

“Maka, amat penting untuk Lembaga Pengarah LPKP dapat memulakan mesyuarat bulanan dan menjalankan fungsinya. “Ini kerana terdapat 252 permohonan pelesenan baharu tertunggak sejak Februari lalu seperti yang dipersetujui oleh Lembaga Pengarah,” jelasnya.

Berikutan itu, beliau berharap ahli lembaga pengarah yang baharu dapat mempercepat kelulusan permohonan tertunggak bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Kelulusan segera melalui pelbagai aplikasi akan membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi terutamanya ketika Kerajaan Sarawak memperkenalkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Saya berharap LPKP dapat mempertimbangkan perbezaan keadaan di Sarawak untuk membuat keputusan,” tambahnya lagi.

Kata Kim Shin lagi, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan terus bekerjasama dengan LPKP Sarawak untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan komersial di negeri ini.

Ripin Lamat; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Buckland Bangik; Pengarah LPKP Sarawak Razami Mohamad dan wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia Wan Mohd Asraf Wan Salleh antara yang hadir.