PADAWAN: Keseronokan sekeluarga mandi di sungai Kampung Semadang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Mangsa seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau.

Menurut Ketua BBP Bau Tawang Linggem, mayat mangsa ditemui sekitar jam 6.11 petang tadi.

“Pasukan SAR menjumpai mangsa dalam sungai.

“Mangsa seterusnya diangkat naik ke tebing dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bagi usaha menyelamatkannya namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak.

Tawang berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, mangsa bersama isteri, anak dan ahli keluarganya yang lain mandi di sungai berkenaan sekitar jam 1 petang.

Dia kemudian dilaporkan hilang sekitar jam 3 petang, sebelum ahli keluarganya datang memaklumkan kepada orang kampung untuk bantuan.

Anggota pasukan SAR cuba melakukan CPR ke atas mangsa sebelum disahkan meninggal dunia.