BAU: Seorang penagih dadah gagal meloloskan diri setelah kediamannya di Kampung Seromah, Jalan Jambusan diserbu polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, serbuan melibatkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Bau dilakukan sekitar jam 7.30 pagi.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 28 tahun itu ketika serbuan turut berada di lokasi sebelum pasukan bertindak membuat pemeriksaan lanjut terhadapnya.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah beg sandang jenis Jeep yang dipakai suspek telah menjumpai sepeket plastik kecil lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.68 gram.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dedah beliau, semakan lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau.

Jelasnya, tahanan reman terhadap suspek akan dipohon serta merta pada hari ini.

Tegasnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

TAHAN… permohonan reman ke atas suspek dilakukan pada hari ini serta-merta