SERIAN: Sebanyak 186,000 anjing disuntik vaksin antirabies daripada jumlah sasaran kira-kira 200,000 anjing di negeri ini, jelas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambun.

Menurutnya, manakala 9,200 anjing sudah disuntik tahun ini dan kempen itu akan diteruskan kerana hanya suntikan vaksin dapat mencegah jangkitan rabies.

Jelas Dr Andrian, sebanyak 180 sampel anjing diambil dan daripada jumlah itu, sebanyak 69 sampel didapati positif rabies.

“Untuk itu, orang ramai diminta tampil membawa anjing masingmasing untuk disuntik vaksin. Jika enggan, virus rabies bukan sahaja boleh menjangkiti anjing, malah membahayakan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah menghadiri majlis penyerahan input projek ternakan bagi Dun Tarat, Kedup dan Bukit Semuja di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Dr Adrian berkata, kempen vaksin besar-besaran secara percuma di kampung di Bahagian Serian akan diadakan mulai minggu depan. “Kempen ini dilaksanakan di Lundu, sekarang di Bau.

Orang ramai boleh membawa anjing masing-masing di pejabat veterinar di seluruh Sarawak. Kami kini giat membuat pemvaksinan di Sibu,” tambahnya.

Tambahnya lagi, tiga individu telah didenda RM1,000 setiap seorang kerana melepaskan anjing peliharaan mereka. “Pemilik anjing dinasihati memandulkan anjing mereka untuk mengurangkan populasi.

“Jangan kutip anjing liar di tepi jalan untuk dipelihara kerana tidak tahu mengenai statusnya. Ia tidakan bahaya,” katanya. Dari 2017 hingga kini, 22 korban akibat gigitan anjing dijangkiti rabies.