BERUNDUR sebagai Editor Eksekutif Suara Sarawak, RUDI AFFENDI KHALIK turut mengakhiri tugasnya secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Editorial Kumpulan akhbar Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune.

Beliau dipertanggungjawab dengan tugas itu sejak dua tahun lalu. Beliau meninggalkan akhbar yang semakin meningkat naik itu demi tanggungjawab dan cabaran yang lebih besar.

Ikuti wawancara khas bersama beliau oleh wartawan COLLINA RADANG dan jurugambar GHAZALI BUJANG.

COLLINA RADANG: Sebagai salah seorang pengasas yang diamanahkan menerajui kedua-dua akhbar ini, boleh kongsikan pengalaman awal penubuhannya?

RUDI AFFEDI KHALIK: Saya dipertanggungjawab untuk menyertai Tribune Press Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pada 28 Oktober 2018, tepat pada hari ulang tahun kelahiran saya ke-43.

Saya telah dipanggil oleh pengerusi syarikat bersama-sama Dr Jeniri Amir untuk hadir ke satu pertemuan di sebuah hotel di Kuching.

Tujuannya adalah untuk mengambil alih pengurusan dan editorial akhbar New Sarawak Tribune. Saya diminta secara bidan terjun, dan dalam masa lebih kurang 10 minit dari mesyuaat tersebut, kami terus menuju ke ibu pejabat akhbar tersebut di Jalan Abell Utara.

Setiba di bilik mesyuarat, pengerusi syarikat kemudian memanggil segera ahli lembaga pengarahnya dan memaklumkan bahawa pemilikan akhbar pada waktu tersebut telah berpindah tangan.

Jadi dalam sekelip mata, tugas utama saya berubah, iaitu membawa reformasi kepada editorial New Sarawak Tribune. Kami kemudiannya membawa masuk editor berpengalaman, M Rajah beberapa hari berikutnya.

Begitu cepat?

Ya. Dalam masa sesingkat mungkin, kami diarahkan untuk mengubah kandungan editorial akhbar dan gaya persembahannya agar lebih menarik, terampil, berwibawa dan teratur.

Selain itu, saya juga diamanahkan untuk mengubah akhbar berbahasa Melayu yang menjadi kembar akhbar New Sarawak Tribune pada waktu itu menjadi akhbar berbahasa Melayu yang terbaik di Sarawak.

Apa-apa pun, setelah melakukan kajian, pasukan pentadbir baharu berpandangan memiliki sebuah akhbar yang baharu lebih mudah daripada mengurus akhbar tersebut, disebabkan liabiliti dan persepsi pembaca.

Jadi, saya telah diamanahkan untuk melakukan perancangan awal untuk mendapatkan lesen penerbitan akhbar.

Setelah beberapa proses rundingan, saya dan pasukan akhirnya berjaya mendapatkan lesen untuk akhbar Suara Sarawak. Pada waktu itu, negara sedang diperintah oleh Pakatan Harapan, dan untuk mendapatkan lesen penerbitan adalah sesuatu yang mustahil.

Menarik

Dengan strategi yang tepat, selepas tiga bulan, lesen tersebut berada di tangan SV News Sdn Bhd dan akhbarnya dinamakan sebagai Suara Sarawak.

Pada 1 Mac 2019, akhbar tersebut diterbitkan untuk pertama kali dan dipasarkan. Sebagai akhbar baharu, kehadirannya pantas menambat hati rakyat.

Kenangan istimewa!

Ya, kenangan indah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah.

Lebih-lebih lagi, saya yang terlibat merundingi dan merancang akhbar ini. Ironinya, kita menerbitkan akhbar ketika syarikat lain bergelut untuk survival, membuang pekerja dan gulung tikar.

Peristiwa itu merupakan cabaran baharu yang indah, dan kita berjaya hadapinya dengan sokongan pelbagai pihak.

Reformasi New Sarawak Tribune?

Kami berhadapan kesukaran untuk mendapatkan kembali pembaca selepas akhbar ini ditutup beberapa ketika. Justeru itu, kami perlu tampil dengan model perniagaan yang baharu.

Setelah beberapa kali perbincangan, kami akhirnya bersetuju untuk mengubah New Sarawak Tribune daripada bentuk asalnya, broadsheet kepada akhbar bersaiz tabloid.

Ia sesuatu yang melanggar kebiasaannya dan di luar kotak.

Secara perlahan, kami membaiki kualiti editorial dan gaya persembahannya. Kini akhbar ini kembali berada dalam arus perdana, dengan cetakan yang semakin meningkat saban minggu.

Bagaimana kedua-dua akhbar ini berhadapan gelombang media sosial?

Kami mengasosiasikan diri dengan media sosial. Biarpun ada akhbar fizikal, kami juga perkenalkan portal berita Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune untuk mewujudkan persaingan.

Dan terkini, sebagai menyahut saranan ekonomi digital Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kami wujudkan e-paper kedua-dua akhbar ini.

Semua ini berjaya kerana kepimpinan syarikat yang baik, kepercayaan yang diberikan oleh stakeholder atau pemegang taruh dan yang paling penting dedikasi semua karyawan dan wartawan yang menjadikan ia seperti hari ini.

Saya percaya selepas ini, jika ada pihak yang mengatakan akhbar tertentu gulung tikar, saya yakin bahawa Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune akan dapat bertahan untuk menabur khidmat kepada rakyat Sarawak.

Rahsia tersembunyi di sebalik pencapaian terkini akhbar Suara Sarawak ini?

Tiada rahsia. Kita harus sentiasa sedar yang kita menulis untuk pembaca dan kita juga perlu mengenali cita rasa mereka.

Pastikan tiada ruang untuk kita syok sendiri.

Sebelum melakukan sesuatu, kita perlu melihatnya dari kaca mata orang lain dan bersedia untuk melakukan perubahan setiap ketika.

Kerana itu, dalam tempoh setiap dua hingga tiga bulan, kita pasti memperbaiki gaya persembahan, laporan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, kita juga perlu melatih para editor untuk peka terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling termasuklah isu Covid-19 dan sebagainya. Kita perlu cekap menangkap isu semasa.

Boleh kongsikan perjalanan karier saudara sepanjang bergelar wartawan?

Detik bermulanya saya sebagai wartawan adalah pada 26 tahun lepas. Pada awalnya saya merupakan pemberita pelatih. Bukan kadet pun. Kemudian saya diserap sebagai pemberita dan kemudian wartawan dalam tempoh hanya enam bulan.

Selepas enam bulan, saya sekali lagi dinaikkan pangkat, menjadi subeditor untuk akhbar Utusan Sarawak. Saya belajar dengan pantas. Saya luangkan sepenuhnya masa saya kepada kerjaya; bermula jam 9 pagi hinggalah ke jam 3 pagi, hampir setiap minggu.

Pada jam 7 malam, saya akan duduk di sebelah editor yang membuat suntingan tulisan saya untuk mengetahui masalah. Saya akan melihat setiap kesalahan secara langsung tanpa menunggu keesokan harinya.

Saya turut membantu mereka (editor) untuk memproses kenyataan media dan sebagainya.

Manakala, pada jam 10 atau 11 malam, saya bersama-sama dengan jurufoto akan terlibat sama dalam operasi sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis yang berakhir pada jam 1 hingga 3 pagi.

Ini merupakan proses yang saya lalui ketika zaman muda saya, dan hanya selepas dua bulan, saya diberikan tanggungjawab sebagai wartawan di meja jenayah.

Kemudian saya beralih ke bidang penulisan rencana, yang ketika itu masih tidak ramai yang pakar mengenainya. Dan saya berjaya. Ini termasuk memenangi beberapa anugerah. Dari situlah saya mendaki dan mendaki hingga menjadi editor pada usia 21 tahun.

Selepas itu?

Saya berhenti ketika mengetuai meja rencana pada tahun 2000. Saya kembali pada 2011 apabila diminta menjadi wakil TV Al Hijrah di Sarawak.

Saya kemudian menjadi wartawan sambilan atau stringer kepada banyak organisasi, seperti Berita Harian, Astro Arena, Kini TV, Astro Awani sebelum akhirnya menubuhkan Sarawak Voice.

Pada waktu kemuncak itu, saya boleh menghasilkan sehingga 25 ke 30 berita sehari, bukan dengan menciplak atau menjadi armchair reporter. Malah banyak antaranya yang mendapat berita muka depan, termasuk berstatus ‘eksklusif’, terutama untuk akhbar Berita Harian.

Hebat! Apa hikmah di sebalik pengalaman ini?

Bidang kewartawanan merupakan satu industri yang luas. Ruang tetap ada jika kita mahu belajar.

Saudara akan berpindah ke tempat baharu. Berada dalam stesen televisyen. Boleh kongsikan cabaran yang akan digalas?

Tanggungjawab ini merupakan satu cabaran yang besar kerana bukan mudah untuk kita mengembangkan pasukan baharu dengan pengalaman yang masih sedikit. Lebih-lebih lagi, dengan had jangka masa yang singkat. Di Semenanjung, mereka mempunyai sekurang-kurangnya lapan bulan hingga setahun untuk menubuhkan satu pasukan media elektronik.

Kita mempunyai masa yang kurang daripada itu.

Sebagai seorang wartawan yang berjaya menempa nama dalam industri ini, kongsikan tip untuk saya dan rakan wartawan di luar sana?

Banyak belajar daripada tulisan-tulisan mereka yang hebat di luar sana termasuklah tokoh wartawan seperti Tan Sri Johan Jaafar malah juga Dr Jeniri sendiri.

Selain itu, saya juga membuat pendekatan untuk merujuk karya-karya mereka yang pernah memenangi Anugerah Kajai sebagai panduan.

Apabila kita belajar kaedah mereka menulis, maka kita mudah mengetahui strategi yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu bahan tulisan. Dalam tv pun saya akan menggunakan kaedah yang sama.

Seorang wartawan yang terbaik tidak bermaksud mereka perlu kaya pengalaman. Tetapi seorang yang dapat menterjemahkan apa-apa yang dirasai, apa-apa yang dialami dan melaporkan dengan cukup baik dapat memberi kesan kepada pembaca.

Belajar menyesuaikan diri untuk menyentuh emosi pembaca bagi penghantaran mesej yang jelas.

Terima kasih. Selamat maju jaya.

Sama-sama.