KUCHING: Semalam Sarawak merekodkan tujuh kes positif Covid-19 melibatkan enam kes dari Daerah Kuching dan satu dari Bintulu.

Ini menjadikan keseluruhan meningkat sebanyak 601 kes. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) mendedahkan, terdapat dua kes import yang mempunyai sejarah balik dari luar negara.

“Kes pertama adalah warga tempatan yang balik dari Singapura pada 12 Julai dan transit satu malam di Kuching.

“Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KIA) Kuching, individu itu terus dimasukkan
ke pusat kuarantin hotel di Kuching dan meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari berikutnya.

“Saringan Covid-19 untuk hari kedua pada 16 Julai mendapati mangsa positif,” katanya.

Menurut JPBN, bagi kes kedua yang juga melibatkan warga tempatan yang balik dari Indonesia pada 5 Julai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Kuching pada 6 Julai.

“Setibanya di lapangan terbang di sini, kes dimasukkan terus ke pusat kuarantin hotel di Kuching bagi menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari.

“Saringan Covid-19 hari kedua adalah negatif tetapi setelah saringan kali kedua pada hari ke-10 pada 17 Julai, mendapati mangsa positif,” jelasnya.

JPBN menjelaskan bahawa, satu kes dilaporkan melibatkan seorang warga tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Kluster Mambong.

“Kes dikesan hasil daripada pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat dan ahli keluarga Kluster Mambong, kes ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Ini merupakan penambahan kepada kes positif Covid-19 di dalam Kluster Mambong menjadikan jumlah keseluruhan Kluster Mambong ialah lima orang,” tegasnya.

Bagi kes saringan kendiri, JPBN memberitahu bahawa terdapat satu kes melibatkan seorang wanita bukan warga tempatan yang menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk membuat perjalanan balik ke negara asal.

“Mangsa tidak mengalami sebarang tanda dan gejala, saringan Covid-19 pada 17 Julai mendapati positif Covid-19.

“Kes ini merupakan kes jangkitan tempatan kerana tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara sebelum tahun 2019,” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, bagi kes saringan perubatan, JPBN menjelaskan, terdapat satu kes melibatkan seorang warga emas tempatan berasal dari Sri Aman dan menetap di Kuching.

“Mangsa diarahkan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Bau pada 17 Julai dan menjalani saringan sebelum pemeriksaan.

“Ujian mengesahkan positif Covid-19 pada hari yang sama dan kes ini masih dalam siasatan lanjut,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, semalam (18 Julai) sebanyak 18 individu bawah siasatan baharu dilaporkan dan tiga kes masih menunggu ujian makmal.