KUCHING: Tindakan 48 individu tidak mematuhi penjarakan sosial di sebuah premis Bistro berhampiran Jalan Song Thiang Chock membawa padah setelah kesemuanya dikenakan denda kompaun RM1,000 oleh penguat kuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, premis terbabit telah diserbu oleh sepasukan anggota polis daripada Balai Padungan sekitar jam 10 malam bagi memastikan arahan Standard Operasi Prosuder (SOP) pencegahan wabak Covid-19 dipatuhi.

Tegasnya, tindakan itu adalah untuk memberi amaran dan menunjukkan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada mana-mana premis yang gagal mematuhi SOP terutamanya penjarakan sosial di kawasan awam dan juga premis.

“Pemeriksaan awal mendapati pekerja dan pelanggan premis gagal mematuhi arahan penjarakan sosial di mana pengunjung yang hadir di premis duduk terlalu rapat antara satu sama lain.

“Tindakan ini seolah-olah mereka ini(pengunjung dan pekerja premis) tidak mempedulikan nasihat kerajaan.

“Oleh itu, 48 individu terdiri daripada 38 lelaki dan 11 wanita telah dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) Peraturan 2020 serta merta di lokasi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, kesemua individu yang dikenakan denda merupakan pelanggan manakala lima daripadanya terdiri daripada pemilik dan pekerja premis.

Tambahnya, turut diperiksa, seorang warganegara Nigeria dan dituduh di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan Peraturan 3.

Susulan itu, katanya, kesemua individu terbabit perlu menjelaskan denda kompaun di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan membuat pemantauan serta pemeriksaan premis-premis seumpama itu secara berterusan bagi membendung penularan Covid-19 dari semasa ke semasa.

Ujarnya, orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti saranan Kerajaan dan mematuhi SOP pergerakan sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dijalankan.