SIBU: Parti Progresif Demokratik (PDP) mencadangkan Kaunselor Joshua Ting sebagai calon berpotensi untuk kerusi Dun Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Perkara ini diumumkan oleh Presiden PDP Datuk Sri Tiong King Sing ketika menghadiri sesi Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ali Jampi, Nanga Tutus dekat sini, semalam.

Joshua merupakan Ketua Pemuda PDP Bawang Assan dan Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berusia 35 tahun dan merupakan ahli perniagaan di sini. Beliau berasal dari Sungai Bidut yang merupakan kawasan di bawah Dun Bawang Assan.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, PDP membuat keputusan itu sejajar kehendak parti yang mahukan calon yang masih muda dan baharu.

“Justeru, PDP mencadangkan nama beliau untuk mewakili PDP-GPS di kerusi Dun Bawang Assan kelak. “Ting masih muda dan mempunyai idea-idea baharu yang berkarisma.

Memang kita berkehendakkan orang muda seperti itu,” katanya lagi. Duta Khas Perdana Menteri ke China itu berkata, dengan memberi orang muda peluang untuk ditampilkan pada PRN-12 merupakan satu langkah yang bijak.

Sementara itu, Ting ketika dihubungi semalam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tiong atas kepercayaan yang diberi.

“Dengan peluang yang diberikan ini, saya akan buat yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat. “Bagaimanapun, keputusan muktamadnya ditentukan oleh Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya yang enggan menaruh harapan yang tinggi untuk dicalonkan namun berikrar terus menabur khidmatnya kepada rakyat di Bawang Assan.

Pada PRN-11 pada 2016, penyandang kini Datuk Wong Soon Kong yang ketika itu menjadi Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) berjaya mempertahankan kerusi Bawang Assan atas tiket calon langsung Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,131 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Beliau menyandang kerusi Bawang Assan sejak tahun 1991 iaitu selama enam penggal. Soon kini merupakan Presiden PSB yang tidak lagi mesra GPS dan memilih untuk duduk di blok pembangkang tempatan.