MATU: Laungan azan mengiringi operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kuala Matu Hilir.

Operasi yang memasuki hari kedua diteruskan hari ini dengan penglibatan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rela, APM, Bomba dan Penyelamat, penduduk kampung dan Polis.

Ketua Kampung Kuala Matu Hilir, Kadar@Kadir Adi berkata, operasi yang dilakukan berterusan sejak semalam namun sehingga jam 6.24 pagi, belum ada petanda positif.

Menurutnya, pencarian tertumpu di kawasan mangsa terjatuh hingga ke muara sungai Kuala Matu.

“Pasukan penyelamat melakukan pencarian sejak semalam. Penduduk kampung juga melaungkan azan berulang kali sepanjang operasi.

“Kita mendoakan semoga semua urusan berkaitan dipermudahkan. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir menghulurkan bantuan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Muhd Amirul Dedy Susando, 11, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing ikan di Kampung Kuala Matu Hilir, petang tadi.

Ibunya, Khatizah Saadi, 34, berkata,  anaknya,  keluar dari rumah mereka kira-kira jam 2.00 petang.

Ketika itu katanya, dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk sehingga mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira dua jam kemudian.

“Saya amat terkejut selepas jiran memberitahu, anak saya terjatuh ke dalam sungai. Malah seorang rakan yang bersamanya ketika kejadian turut memaklumkan kejadian sama.

“Sebelum meninggalkan rumah, Amirul tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia hanya minta izin keluar rumah untuk bermain,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada 4.52 petang.

Menurutnya, mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh semasa memancing di atas kapal tunda yang diletakkan di pangkalan sungai.

“Semasa memancing di kapal pukat tunda itu, mangsa dilaporkan tiba-tiba tergelincir terus jatuh ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

Gambar Ihsan Madihi Riji