KUCHING: Beberapa isu telah diketengahkan oleh Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dalam persidangan Parlimen yang diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, cadangan tersebut perlu dilihat dan ditambah baik oleh Kerajaan Persekutuan bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Sedia maklum bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan satu agensi yang akan mengetuai jabatan lain terutamanya ketika negara berhadapan dengan bencana yang melanda.

“Sejajar dengan itu, MKN perlu peka terhadap kelengkapan yang diperlukan oleh pihak yang terlibat khususnya petugas barisan hadapan dalam mengurus bencana penyakit yang melanda negara sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, tanggungjawab dalam memastikan bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) agar sentiasa mencukupi perlu diutamakan terutamanya dalam keadaan negara yang masih dilanda wabak Covid-19.

Hal ini kerana faktor amalan birokrasi yang terlalu tinggi dan kaedah perolehan yang terlalu rumit, telah menyebabkan pembelian kelengkapan asas yang perlu diberi kepada pertugas kesihatan amat lambat sampai kepada mereka.

Selain itu, King Sing juga memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula nasib Perusahaan Bersaiz Kecil Sederhana (SME) di negara ini susulan moratorium enam bulan yang telah diberi bakal tamat pada September ini.

Katanya, beliau amat yakin bahawa majoriti SME masih tak mampu untuk membayar hutang mereka dalam masa terdekat ini.

“Saya berpendapat agar kerajaan mencari satu penyelesaian “win win” kepada pihak bank dan pihak SME dengan mempertimbangkan lanjutan tempoh moratorium atau mencadangkan jadual pembayaran atau bayaran secara ansuran atau kaedah lain yang difikirkan sesuai,” ujar beliau.

Beberapa isu lain yang turut dibahaskan juga adalah mengenai kerja penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak dan infrastruktur di Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Justeru, beliau turut menekan isu berkaitan Coastal Road Bintulu ke Samalaju dan juga isu berkaitan pencerobohan kapal Vietnam di Perairan Sarawak dan disyaki berkait dengan salah laku dan salah guna kuasa anggota penguatkuasaan APMM.

Beliau berharap agar kerajaan dapat mengambil langkah yang bijak dalam menyelesaikan setiap masalah yang berlaku demi mencapai negara maju bertepatan dengan matlamat yang disasarkan.