PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengulangi gesaan supaya orang ramai memakai pelitup separuh muka atau ‘facemask’ dengan cara yang betul.

Beliau berkata pemakaian alat pelitup separuh muka merupakan satu kaedah pencegahan yang penting bagi mengelak penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

“Ia boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti, atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain,” tegasnya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Facemask perlu menutupi ruang hidung sehingga dagu manakala pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ia tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian daripada hidung dan mulut, adalah tidak bertepatan dan sebaliknya membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semalam berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir, serta perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan pelitup separuh muka boleh dibahagikan kepada penggunaan bagi tujuan perubatan dan penggunaan bukan perubatan.

Penggunaan pelitup separuh muka bagi tujuan perubatan melibatkan petugas kesihatan yang perlu menggunakan perlindungan, seperti yang disarankan dalam panduan ‘Guidelines on COVID-19 Management in Malaysia’.

Bagi penggunaan pelitup separuh muka untuk tujuan bukan perubatan pula, ia adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat COVID-19 tersebar luas dan jarakan sosial sukar diamalkan, contohnya golongan pekerja dan orang awam sihat yang berada di tempat awam dan persekitaran sesak.

Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan jangkitan COVID-19 berlaku serta jarakan sosial sukar diamalkan perlu menggunakan pelitup sebaruh muka ‘surgical 3-ply mask’, katanya.

Menurut beliau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesyorkan non-medical masks jenis fabrik dengan tiga lapisan iaitu lapisan dalam bersifat menyerap air (hidrofilik) dan lapisan luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) yang boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai.

“Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

“Kementerian Kesihatan turut mengingatkan bahawa pelitup separuh muka bukan perubatan, bukanlah satu alat perubatan mahupun alat pelindung diri,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan pelitup separuh muka bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, bagi mereka yang sukar bernafas, dan individu yang tidak sedarkan diri, tidak atau kurang berupaya, dan mereka yang tidak dapat menanggalkan pelitup separuh muka tanpa bantuan.

Dr Noor Hisham berkata KKM sangat menggalakkan pemakaian pelitup separuh muka terutamanya di kawasan awam dan berisiko tinggi jika jarakan sosial sukar diamalkan.

Katanya pemakaian pelitup separuh belum diwajibkan kerana jika ia diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang gagal memakainya boleh dikenakan denda atau penjara.

Beliau berkata kerajaan masih melihat kepada tindakan denda atau penjara kalau tidak memakai pelitup muka, tetapi KKM hanya mengesyorkan pemakaian, kerana ia dapat memutuskan rantaian jangkitan sehingga 65 peratus.

“Sekarang ialah isu kalau mewajibkan (pemakaian) apakah kita akan mengenakan denda RM1,000 kepada mereka yang tidak pakai di tempat awam ataupun penjara. Itu sedang diteliti sebelum kita laksanakan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dua kaedah dapat mencegah penularan COVID-19 iaitu pemakaian pelitup muka dan jarakan sosial yang dapat memutuskan rantaian sehingga 70 peratus.– BERNAMA