KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi fokus kepada pengembangan Ar-Rahnu sebagai instrumen untuk mendapatkan wang tunai.

Ar-Rahnu merupakan alternatif pajak gadai Islam yang banyak digunakan di Kelantan dan Terengganu.

Ia ditubuhkan bertujuan supaya rakyat mempunyai pilihan lebih selamat dengan tidak meminjam wang daripada Ah Long atau ceti haram.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, arahan diberikan kepada kementerian melalui Bank Rakyat, untuk menekankan kepentingan perkembangan pajak gadai Islam.

“Platform ini supaya dapat menjadi instrumen untuk menolong orang yang memerlukan wang tunai dengan segera.

“Sekiranya seseorang menjalankan perniagaan restoran dan memerlukan wang dengan cepat, mereka dapat boleh menggadaikan barang kemas melalui An-Rahnu.

“Ia tidak memakan masa lama. Ia hanya memerlukan dua jam mendapatkan wang tunai dan memboleh peniaga meneruskan perniagaan tanpa risau dengan Ah Long,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Pembangunan Kapasiti dan Promosi Koperasi di My Village Barok, Kampung Boyan.

Beliau menjelaskan Ar-Rahnu diperkenalkan oleh kerajaan melalui kementeriannya untuk membantu mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan tidak formal di seluruh negara.

“Pajak gadai ini sangat popular di Kelantan dan Terengganu tetapi di Sarawak, ia masih tidak mendapat perhatian.

“Saya ingin mempromosikan dan mengembangkan Ar-Rahnu ke seluruh Malaysia dari Perlis ke Sabah termasuk negeri ini,” katanya.

Wan Junaidi menegaskan bahawa Ar-Rahnu dapat menjadi label dalam institusi kewangan yang boleh digunakan oleh semua orang, sama ada orang Islam atau tidak.

Katanya, ia harus dipromosikan ke semua lapisan masyarakat supaya PKS dapat memperoleh sumber pendapatan mereka dengan cepat.

“Sekiranya ada yang mahu mengendalikan Ar-Rahnu di sini Kampung Boyan, mereka boleh melakukannya di sini.

“Tidak perlu ke seberang untuk menggadaikan barang kemas.

Selain itu, kita juga dapat mewujudkan cawangan-cawangan ini di kawasan luar bandar seperti Kapit, Sri Aman, Mukah, Sarikei dan lain-lain,” katanya.