KUCHING: Seramai 17 individu yang terdiri daripada pelanggan dan pengusaha premis dikompaun kerana gagal mengamalkan penjarakan sosial dalam dua pemeriksaan di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, dalam pemeriksaan pertama yang dilakukan pada jam 11.10 malam tadi di sebuah kedai makan di Jalan Pending mendapati para pelanggan duduk terlalu rapat antara satu sama lain.

Tambah Awang Din, kesemua pelanggan lelaki kemudiannya diarahkan ke Balai Polis Sekama untuk pengeluaran kompaun.

“Pemeriksaan kedua dijalankan pada jam 10.10 pagi hari ini di sebuah kedai makan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Bormill Commercial Centre Kuching.

“Pemeriksaan turut mendapati pelanggan yang datang tidak mempedulikan arahan penjarakan sosial seperti saranan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pelanggan yang dikenakan kompaun di Kuching malam tadi.

Menurutnya, tiga pelanggan dan seorang pengusaha premis diarahkan ke Pejabat JSJ IPD Kuching untuk pengeluaran kompaun.

“Kesemua individu terbabit dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3, PPPPB (No.7) 2020.

“Kompaun yang telah dikeluarkan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai RM 1,000 setiap seorang,” jelasnya.

Tegasnya, pihak polis sebelum ini mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan juga pengusaha premis untuk tidak mengulanginya.

“Bagaimanapun, semakin ramai orang awam tidak mengikuti SOP seperti yang telah ditetapkan.

“Tindakan tegas dengan mengenakan kompaun akan dilakukan tanpa prejudis,” ujarnya.

Katanya lagi, pemantauan dan pemeriksaan premis-premis seumpama ini akan dijalankan secara berterusan, bagi mengelakkan penularan Covid-19 di negeri ini.

Awang Din juga berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan sentiasa mengikuti SOP penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19.