KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa rakyat supaya mempunyai satu visi dengan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sebagai sebuah negeri yang dapat menjadi contoh kepada yang lain.

Justeru, katanya kunci bagi mencapai matlamat itu dengan mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang etnik, bangsa dan agama.

“Saya mempunyai harapan Sarawak mampu mencapai kemajuan dengan syarat kita bekerjasama dan bekerja kuat.

“Kita gunakanlah segala perubahan yang ada pada zaman teknologi maklumat (IT) untuk meningkatkan keupayaan,” katanya dalam pertemuan khas khas bersama Suara Sarawak mengenai sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.

Abang Johari menambah, setiap rakyat Sarawak harus menghayati tarikh 22 Julai kerana ia begitu penting malah menganggap sebagai hari keramat yang menandakan sejarah penubuhan Kerajaan Sarawak yang dipimpin mendiang Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri.

Bahkan katanya ahli-ahli kabinet juga terdiri daripada anak-anak Sarawak termasuklah Yang di-Pertua Negeri hari ini Tun Abdul Taib Mahmud.

“Sebelum tertubuhnya atau pengisytiharan Malaysia pada 1963, kita mempunyai kerajaan sendiri iaitu pada 22 Julai 1963.

“Bermakna sebelum Malaysia lagi kita sudah ada kerajaan sendiri walaupun ketua negeri masih lagi seorang ahli kolonial iaitu Alexander Waddell tetapi kuasa eksekutif telah diberi kepada anak Sarawak, itu pentingnya 22 Julai.

“Selepas itu kita menjadi anggota sebahagian daripada Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.

Ketua Menteri juga berkata pengisytiharan 22 Julai sebagai cuti umum Hari Sarawak pada empat tahun lepas oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem juga telah memberi kesan yang baik kepada negeri ini.

Katanya antara yang telah diperjuangkan adalah mengenai pentingnya hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berpaksi kepada Suruhanjaya Cobbold dan juga peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, sejak itu Sarawak secara struktur mengembalikan hak-hak yang telah terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Malah, katanya yang penting adalah ia menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat Sarawak bahawa harus membangunkan negeri seterusnya mengambil kira hak-hak yang dipersetui dalam MA63.

“Jadi empat tahun lepas, kita telah mengusahakan untuk mengembalikan hak-hak yang telah terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja.

“Sebagai pengganti Tok Nan, saya teruskan usaha ini secara berhemah, tidak menjejaskan kedaulatan sebuah negara persekutuan tetapi mengembalikan hak yang sepatutnya dipunyai oleh rakyat Sarawak.

“Jadi bagi saya empat tahun yang lepas telah memberikan aspirasi baharu untuk Sarawak menjadi sebuah wilayah daripada tiga wilayah Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan persekutuan tanah melayu,” katanya.