SIBU: Orang ramai yang berminat dialu-alukan untuk menyertai bengkel asas penyuntingan video secara percuma anjuran Hub Inovasi Digital Sibu pada 15 Ogos depan.

Menurut kenyataannya baru-baru ini, bengkel berkenaan diadakan di di Plux Incubation Hub, Jalan Chamber bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang.

“Ia akan dikendalikan Najihah Najlaa, seorang pakar bertauliah dalam perisian Adobe yang pernah memenangi Adobe Certified Associate Design World Championship 2016,” kata kenyataan itu lagi.

Jelasnya, Najihah juga pernah dijemput untuk berkongsi kisah kejayaannya di Adobe MAKEit Local, Kuala Lumpur pada tahun 2017.

“Beliau kini bergerak bebas dalam dunia fotografi, videografi, reka bentuk grafik dan pencipta kandungan untuk syarikatnya sendiri disamping aktif bekerja sebagai pengajar sambilan di Adobe Authorized Training Centre di Cyberjaya, Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.

Sementara itu ia berkata, peserta diingatkan supaya membawa komputer riba sendiri ketika bengkel dan memuat naik perisian Adobe Premiere Pro, tetikus, pelapik tetikus dan fon telinga.

Objektif bengkel ini ujarnya, akan mendedahkan kepada peserta mengenai fungsi alat, garis masa, dan ruang kerja berkaitan perisian Premiere Pro.

“Bengkel latihan asas ini, akan membolehkan para peserta mempelajari kemahiran dan teknik yang diperlukan untuk mengatur, menyunting, dan mengeksport projek video dalam pelbagai format.

“Ia akan memberikan asas yang kukuh dalam penggunaan aplikasi penyuntingan video yang banyak digunakan pada masa ini,” tambahnya lagi.

Peserta juga akan mempelajari asas video digital, asas untuk merakam dan menyunting video, memahami kawalan penyuntingan dan menyunting klip di Premiere Pro, belajar mengeksport video dari Premiere Pro untuk keperluan khusus dan belajar cara menggunakan tajuk dan be=kerja dengan grafik yang diimport di Premiere Pro.

Menurutnya lagi, peserta juga akan belajar menggunakan Premiere Pro untuk bekerja dengan rakaman skrin hijau termasuk belajar cara menggunakan kesan dalam Premiere Pro.