KUCHING: Penantian para guru, kakitangan sokongan dan murid di empat buah sekolah daif di Parlimen Lubok Antu bakal berakhir apabila ia diberi kelulusan dibina semula.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, empat buah sekolah itu ialah SK Nanga Kesit, SK Skrang, SK Batang Ai dan SMK Engkilili.

“Empat buah sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah daif yang perlu dibina semula.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang pada perbahasan Sidang Dewan Rakyat Sesi Julai 2020 di ibu negara hari ini.

Kata Radzi lagi, kos bagi membina SK Nanga Kesit, SK Skrang dan SK Batang Ai
berjumlah RM15.5 juta.

“Projek naik taraf dan bina semula bangunan SK Nanga Kesit melibatkan enam l bilik darjah, empat unit rumah guru dan satu bilik Sains.

“Kerja-kerja pembinaan projek ini telah dimulakan 10 Julai lalu,” jelasnya.

Tambahnya, bagi SK Skrang pula, skop projek adalah membina lapan unit kuarters.

“Manakala, bagi projek SK Batang Ai, skop projek merangkumi pembinaan asrama berkapasiti 100 murid dan enam unit kuarters.

“Kedua-dua projek ini masih dalam fasa prabina dan penyediaan dokumen tender dijangka selesai bulan Ogos 2020,” jelasnya.

Dalam pada itu, Radzi merujuk kepada pembinaan penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkelili apabila projek tersebut telah diluluskan dibawah Projek Khas Kementerian Ekonomi (MEA) tahun 2020.

“Skop projek meliputi pembinaan enam bilik darjah, asrama berkapasiti 200 murid, empat unit rumah guru dan kemudahan lain mengikut piawai.

“Pada masa ini, projek sedang di dalam fasa perancangan seperti reka bentuk dan penyediaan dokumen tender,” ujarnya.

Katanya lagi, pembinaan projek dijangka akan bermula awal tahun 2021.