KUCHING: Kumpulan Media Sarawak (SMG), sebuah syarikat berkaitan kerajaan akan menguruskan dan mengendalikan perkhidmatan stesen televisyen tempatan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan memberi perkhidmatan saluran televisyen percuma, penerbitan dalam talian dan menyampaikan maklumat.

“Saya menggesa penggiat industri kreatif tempatan untuk merebut peluang ini apabila TV Sarawak beroperasi sepenuhnya kelak.

“Saya berharap pada penghujung tahun ini, TV Sarawak akan memulakan percubaan teknikal selepas Kerajaan Sarawak mendapat lesen untuk tempoh 10 tahun oleh Kementerian Multimedia dan Komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak di Miri, malam tadi.

Kata Abang Johari, lesen berkenaan dikeluarkan untuk meluluskan pengoperasian stesen televisyen di Kuching.

“Ini kerana kita berpendapat industri kreatif turut memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negeri.

“InsyaAllah, dalam waktu terdekat kita akan dapat menyediakan platform untuk peminat industri kreatif dalam mempamerkan hasil karya masing-masing,” ujarnya.