KUCHING: Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan.

“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, setiap individu, keluarga dan komuniti ialah petugas barisan hadapan.

“Ahli keluarga dan anggota masyarakat mesti saling menasihati dan ingat-mengingati,” katanya ketika menyampaikan perutusan perkembangan terkini PKPP, kelmarin. Perdana Menteri juga mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah, serta mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain.

“Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan majikan mesti sentiasa mengingatkan pekerja supaya patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat,” katanya.

Manakala di sekolah, Muhyiddin berkata pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.

“Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan ketua-ketua kampung, imam-imam dan ketua komuniti supaya menjaga komuniti masing-masing.

Ujarnya, ketua kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung misalnya boleh membuat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat yang sering dikunjungi penduduk kampung masing-masing.

“Sama ada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian, nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial,” katanya.