MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak sedang menuju ke era kegemilangan, menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata dengan peruntukan anggaran keseluruhan sebanyak RM20 bilion dalam dua tahun ini, ekonomi tempatan negeri akan disuntik dengan dana besar untuk perbelanjaan awam.

“Ini tentunya akan meningkatkan penggunaan ekonomi yang akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Sarawak bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ di Hotel Pullman di sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Pengangkutan merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2020 Datuk Lee Kim Shin serta menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Selain itu, Abang Johari berkata jika pelaburan asing dipertimbangkan dalam ekonomi tempatan, maka akan ada suntikan RM61 bilion lagi dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

“Saya yakin dengan gabungan-gabungan modal ke dalam ekonomi tempatan kita, Sarawak mampu mencapai hasrat pertumbuhan tahunan 6 hingga 8 peratus menjelang 2030 walaupun cabaran pasca Covid-19 akan menjadikan kekangan bagi kita.

“Namun demikian, dari segi positif, kekangan yang ditimbulkan oleh wabak tersebut telah membuka peluang perniagaan baharu kepada banyak orang selain mempercepat perkembangan ekonomi digital,” katanya.

Ketua Menteri juga berkata telah membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) untuk meneliti dasar, strategi dan rancangan tindakan agar Sarawak melakukan reformasi ekonomi yang agresif selama lima hingga 10 tahun akan datang.

“Inilah harapan kami dan merupakan jalan maju ke arah Sarawak Cemerlang,” katanya.