MIRI: Sarawak akan mempunyai stesen televisyen (TV) sendiri menjelang akhir tahun ini iaitu dikenali TV Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata TV Sarawak akan diurus dan dikendalikan oleh Sarawak Media Group (SMG), sebuah agensi syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) Sarawak.

Katanya stesen televisyen ini akan menyediakan perkhidmatan penyiaran sebagai saluran bebas ke udara, penerbitan dalam talian dan perkhidmatan penyediaan maklumat.

“Kami juga tidak melupakan peranan penting industri kreatif untuk menjana ekonomi.

“Mudah-mudahan, pada akhir tahun jika semuanya berjalan lancar, TV Sarawak akan memulakan percubaan teknikalnya kerana negeri telah diberikan lesen 10 tahun oleh Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mengendalikan stesen televisyen di Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Sarawak bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ di Hotel Pullman di sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Pengangkutan merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2020 Datuk Lee Kim Shin serta menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Menurut Abang Johari, penubuhan TV Sarawak akan dapat menyediakan platform untuk peminat industri kreatif di negeri ini untuk mempamerkan dan mengembangkan hasil karya mereka.

Justeru, beliau menyeru semua pemain industri kreatif tempatan merebut peluang keemasan ini setelah TV Sarawak beroperasi sepenuhnya.