KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) mengehadkan jumlah pengguna yang “login” ke aplikasi Sarawak Pay sempena dengan “double rewards” Hari Sarawak hari ini.

Pengurus Besar SMA Dr. Zaidi Razak berkata, pelayan Sarawak Pay tidak mengalami kerosakan tetapi pengguna yang “login” dalam masa serentak dihadkan.

“Kita mempunyai 400,000 pengguna Sarawak Pay yang perlu membuat tiga transaksi sempena Hari Sarawak hari ini di bawah “double rewards”.

“Namun, pengguna Sarawak Pay jangan risau kerana “double rewards” akan dilanjutkan sehingga dana habis,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak sebentar tadi.

Enggan mendedahkan jumlah dana yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada SMA, Zaidi memberitahu, ia adalah inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat negeri ini menggunakan aplikasi terbabit.

“Malah, kita amat terkejut dengan sokongan para pengguna dalam sambutan Hari Sarawak.

“Oleh itu, kita berharap orang ramai bersabar dalam menembus mata ganjaran “double rewards”,” ujarnya.

Media sosial hari ini dipenuhi dengan komen para pengguna yang cuba untuk “login” Sarawak Pay bagi mendapatkan “double rewards” sempena Hari Sarawak.