MIRI: Berang dikejutkan dari tidur, seorang lelaki sanggup mengugut isterinya menggunakan senjata api buatan sendiri dalam satu kejadian di kuarters sebuah estet di Niah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, suspek berusia 25 tahun itu bertindak agresif selepas dikejutkan daripada tidur untuk menggantikan silinder gas kosong.

Difahamkan, suspek yang dalam keadaan marah telah menyerang mangsa yang ketika itu sedang menggendong bayi mereka yang berusia satu bulan.

Selain itu, mangsa juga mendakwa bahawa suspek mengancamnya dengan menggunakan sebilah parang dan senapang patah sebelum meninggalkan rumah.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan anaknya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang memburu suspek yang dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian.

“Sepasukan polis yang pergi ke tempat kejadian telah merampas dua senjata api buatan sendiri dan peluru manakala suspek tidak dapat ditemui.

“Kini, usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.