MATU: Pencarian mangsa lemas murid Tahun Lima Muhd Amirul Dedy Susando, 11, yang jatuh sungai ketika memancing Isnin lalu mendapat kerjasama total daripada penduduk kampung dan sukarelawan selain agensi berkuasa.

Bendahari PBB N44 Jemoreng Nahar Abu Samah berkata, kerjasama itu memudahkan penemuan mayat mangsa pada jam 4.30 petang dan mayat ditemui dalam keadaan sempurna.

“Pusat Khidmat DUN N44 Jemoreng menghulur bantuan sebahagian minuman dan petrol untuk operasi berkenaan,”katanya.

Katanya, kerjasama penduduk kampung dan sukarelawan memudahkan pencarian mangsa sehingga ditemui.

“Ini yang kita perlu dan amat berbesar hati dengan semangat kekitaan yang wujud.

“Ini juga sebagai perkongsian kepada anak-anak muda bahawa apa-apa sahaja bencana berlaku di kampung, kita tidak bergantung kepada agensi keselamatan sahaja,” katanya.

Mayat mangsa ditemui pada jarak 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Ia kemudiannya dibawa ke hospital Daro untuk tindakan lanjut.

Operasi sejak Isnin lalu itu dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat sambil dibantu PDRM, APM, RELA, Persatuan Sukarela Matu dan JKKK Kampung Kuala Matu.