BUKU Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan bakal mengejutkan pembaca semua.

Kemiskinan dan kekayaan mempunyai garis sempadan berbeza.

Hidup miskin dihina manakala hidup kaya dipandang mulia oleh kebanyakan manusia.

Kehidupan insan miskin tegar berubah menjadi kaya-raya melatari tema buku ini.

Sebagai pembaca, penulis tersentuh hati dengan kisah insan bernama Mohamad Azlan.

Sememangnya tiada siapa menduga seorang yang pernah menjadi pengutip sampah mampu berjaya bergelar jutawan.

Itulah kisah Azlan yang berada pada titik paling bawah kehidupan suatu ketika dahulu berjaya meletakkan diri pada peringkat tertinggi.

Mohamad Azlan lahir daripada keluarga miskin tegar mempunyai 16 adik-beradik. Pernah tidak makan secukupnya.

Makan berlauk budu, ikan kering dan seadanya untuk mengalas perut yang lapar.

Semasa di sekolah, Azlan merupakan pelajar tercorot dan rendah diri. Pernah kena buang sekolah kerana masalah disiplin.

Bahkan pernah dicaci dan dihina gara-gara hidup miskin.

Dahsyatnya kemiskinan tersebut membelit kehidupan Azlan sekeluarga.

Namun, mereka tidak berputus dan sentiasa mensyukuri apa-apa yang ada.

Habis zaman persekolahan Azlan menyambung belajar di Universiti Kehidupan.

Belajar jerih payah dan mengenal erti gigih, kerja keras dan semangat waja dalam mencapai sesuatu.

Pernah juga menyambung pengajian di kolej, namun tidak sampai ke penghujung.

Ini gara-gara keinginannya untuk membantu keluarga semakin membuak-buak.

Bermula daripada situ, Azlan cuba pelbagai pekerjaan. Berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk mendapat kehidupan yang terbaik.

Pengutip sampah merupakan pekerjaan cukup meruntun hati.

Semuanya beliau lakukan demi membantu keluarga yang masih dibelit kemiskinan yang belum berkesudahan.

Pada satu hari, emaknya menangis dan menitis air mata melihat poket baju Azlan berisi ulat-ulat sampah.

Hati siapa yang tidak hiba melihat anak kesayangan begitu gigih mencari duit untuk membantu keluarga.

Titik tolak kejayaan Azlan berlaku apabila beliau cuba keluar dari rumah dengan berbekalkan hanya RM1.30.

Rezeki Tanpa Diduga

Fikirannya buntu dan bingung memikirkan hendak ke mana hala hidup selepas itu.

Beliau menangis sepuas hati dan akhirnya sedar tiada sesiapa pun dapat membantu kecuali Allah SWT.

Ketika dalam keadaan yang buntu begitu, Azlan ditakdirkan berjumpa seseorang.

Insan ini menawarkan pekerjaan kepada Azlan sebagai ejen tanah lot.

Benarlah kata ramai orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Pekerjaan baharu sebagai ejen tanah lot ini membawa titik perubahan kepada Azlan.

Kejayaannya mendapat komisyen RM4,000 begitu besar.

Selepas itu, Azlan tidak menoleh belakang lagi.

Usaha, masa dan tenaga terus dicurah di bidang hartanah membawa Mohamad Azlan Al Amin mencatat nama sebagai jutawan muda.

Apakah formula di sebalik kejayaan ini? Hanya selepas membaca buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan, anda mengetahuinya dengan jelas.

Bukan itu sahaja anda bakal terinspirasi, yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

Selamat membaca dan semoga berjaya semua.