WARTAWAN Kanan Suara Sarawak NICK FLETCHER dan jurugambar GHAZALI BUJANG mengadakan pertemuan eksklusif dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi berkongsi aspirasi, inspirasi, pencapaian dan bagaimana Sarawak hari ini menurut kaca mata beliau.

SUARA SARAWAK: Kalau dapat Datuk Patinggi jelaskan kepentingan Hari Sarawak?

DATUK PATINGGI ABANG JOHARI TUN OPENG: Tarikh 22 Julai ialah hari yang saya anggap sebagai hari keramat untuk rakyat Sarawak kerana pada hari tersebut kita telah menubuhkan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan anak Sarawak sendiri apabila mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri, sebagai pemimpin kerajaan.

Ahli kabinetnya pula terdiri daripada anak-anak Sarawak termasuklah Yang Di-Pertua Negeri kita hari ini, Tun Abdul Taib Mahmud.

Selepas peralihan pemerintahan Sarawak daripada kesultanan Brunei kepada Brooke pada 1841, berlaku Perang Dunia Kedua, kita di bawah pendudukan Jepun dari 1941 hingga 1945. Kemudian balik kepada pemerintahan Brooke lagi.

Brooke menyerahkan kuasa kepada pihak British pada 1946. Sarawak terus di bawah British hinggalah kita menjadi sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia pada 1963.

Sebelum pengisytiharan Malaysia pada 1963, kita telah mempunyai kerajaan kita sendiri pada 22 Julai 1963. Bermakna sebelum Malaysia lagi kita sudah ada kerajaan sendiri walaupun ketua negeri masih lagi seorang pemimpin kolonial iaitu Alexander Waddell tetapi kuasa eksekutif telah diberi kepada anak Sarawak.

Itulah sebab pentingnya tarikh 22 Julai. Selepas itu kita menjadi anggota sebahagian daripada Malaysia pada 16 September 1963.

Mengapa pentingnya rakyat Sarawak faham akan sejarah berkenaan?

Hal ini kerana tarikh kita ditadbir oleh anak Sarawak sendiri menerusi kuasa eksekutif yang diberikan kepada rakyat Sarawak, itu penting.

Apakah kesannya selepas empat tahun 22 Julai diisytiharkan sebagai Hari Sarawak?

Seperti yang kita tahu bahawa kita mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak ketika Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri.

Hari berkenaan diisytiharkan sebagai cuti umum dan Tok Nan telah menyatakan pentingnya hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berpaksi kepada Suruhanjaya Cobbold dan juga peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

Maka sejak tarikh berkenaan kita berusaha mengembalikan hak-hak yang telah terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Tapi yang penting ia menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat Sarawak bahawa kita hendaklah membangunkan negeri ini dan seterusnya mengambil kira hak-hak yang telah dipersetujui dalam MA63.

Jadi empat tahun lepas, kita mengusahakan untuk mengembalikan hak-hak yang terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja. Sebagai pengganti Tok Nan, saya teruskan usaha ini secara berhemah, tidak menjejaskan kedaulatan sebuah negara persekutuan tetapi mengembalikan hak yang sepatutnya dipunyai oleh rakyat Sarawak.

Jadi bagi saya empat tahun yang lepas memberikan inspirasi baharu untuk Sarawak menjadi sebuah wilayah daripada tiga wilayah Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.

Adakah puas hati dengan pencapaian dari segi tuntutan hak setakat ini?

Ia belum lagi selesai, sebaliknya ialah usaha berterusan. Umpamanya di bawah Artikel 112 dalam Perlembagaan Malaysia, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberi peruntukan khas kepada Sarawak.

Perkara ini belum selesai lagi walaupun Kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan sebanyak RM36 juta sebagai satu peruntukan khas di bawah Artikel 112D.

Saya telah mempersoalkan formula untuk mendapatkan angka RM36 juta ini dan formulanya belum jelas dan belum diberitahu.

Hal ini kerana saya berpandukan keadaan kalau kedudukan kewangan Malaysia baik, maka sudah tentunya ada formula atau kadar sesuai untuk diberi kepada Sarawak.

Kalau keadaan kewangannya tidak baik, juga ada formula untuk kita turunkan peruntukan berkenaan. Tetapi Kerajaan Persekutuan tidak boleh memberikan amaun yang tetap. Pada saya,

mesti ada formula untuk kita mendapatkan peruntukan khas yang sepatutnya diberi kepada Sarawak mengikut Artikel 112D, Perlembagaan Malaysia.

Sejauh manakah Datuk Patinggi yakin untuk mendapatkan peruntukan berkenaan di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Ia terpulang kepada perbincangan antara kita dengan mereka kerana kita tidak tamak tetapi yang kita hendak ialah formula yang betul untuk kita terima amaun yang berpatutan. Ia mungkin RM100 juta kalau keadaan kewangan negara baik dan kalau tidak baik, kita juga terima jika mendapat kurang daripada RM100 juta.

Jumlahnya bergantung kepada keadaan ekonomi dan juga kedudukan kewangan. Maknanya, ia tidak boleh ditetapkan kerana ini tidak adil.

Kalau amaun ditetapkan dan keadaan ekonomi baik, kita cuma mendapat amaun yang sudah ditetapkan. Jadi keadilan tidak ada dalam agihan. Ia sepatutnya dilaksanakan di bawah Artikel 112 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara kedua adalah mengenai Ahli Parlimen. Dulu satu per tiga Ahli Parlimen masing-masingnya terdiri daripada Ahli Parlimen Singapura, Sabah dan Sarawak. Apabila Singapura keluar, jadi jumlah kita kecil. Sepatutnya Sabah dan Sarawak mesti mengekalkan satu per tiga daripada 222 kerusi Parlimen kerana kalau kita tidak mempunyai satu per tiga, agihan kuasa dalam Parlimen hanya bergantung kepada Semenanjung.

Kita tahu bahawa perlembagaan boleh dipinda dengan kuasa dua per tiga. Kalau Semenanjung ada lebih dua per tiga, kita kurang daripada satu per tiga, bilabila masa ia boleh pindakan perlembagaan.

Jadi ini satusatunya perkara yang kita masih bincangkan dengan pihak Kerajaan Persekutuan. Isu berkenaan akan dibincangkan kerana Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, jadi kita bincang melalui kementerian berkenaan.

Apa pencapaian terbaik Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Datuk Patinggi dari segi tuntutan hak berkenaan?

Tahun pertama saya menjadi Ketua Menteri, saya telah mengambil alih empangan hidroelektrik (HEP) Bakun.

HEP Bakun ialah hak kita walaupun pada mulanya dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi kita telah mempunyai satu keputusan di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Saya berunding mahu mengambil balik HEP Bakun dan ia telah kita ambil dengan harga yang agak berpatutan. Bermakna kita ada kuasa menyeluruh dalam pengendalian tenaga hidroelektrik. Sekarang pun kita mula pada tiga tahun lepas menjual tenaga elektrik kepada Kalimantan, Indonesia.

Bermakna seratus peratus tenaga elektrik adalah di bawah kuasa Kerajaan Sarawak. Yang kedua mengenai penglibatan dalam sektor minyak dan gas. Walaupun dulu waktu pilihan raya Pakatan Harapan (PH) berjanji menaikkan royalti 20 peratus tetapi ia tidak dilaksanakan.

Saya juga ambil maklum bahawa dalam perlembagaan, kita tidak dapat menerima royalti lebih daripada 10 peratus kerana dalam perlembagaan menyatakan hanya 10 peratus.

Tapi kita ada kuasa dalam bidang cukai jualan. Maka saya laksanakan cukai jualan 5 peratus walaupun pada pandangan Petronas dan kerajaan terdahulu, kita tidak ada kuasa kerana kuasa itu adalah eksklusif di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Walaupun PDA menjadi satu undang-undang yang agak kontroversial, tapi Sarawak ada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang tidak dimansuhkan. Maka kita gunalah kuasa kita di bawah undangundang tersebut untuk melibatkan diri dalam industri  minyak dan gas.

Apakah perbezaan dari segi tuntutan hak antara ketika di bawah Kerajaan PH sebelum ini dengan Kerajaan PN ketika ini?

Perbezaannya ialah kerajaan di bawah PN sekarang mendengar rintihan kita. Kalau dulu kita ada Jawatankuasa MA63 yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut saya anggotai dan juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Saya nampak dari sudut perbincangan ada sukar sikit. Selepas itu, apabila pertukaran kerajaan berlaku, maka jawatankuasa itu tidak wujud lagi tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan satu kementerian khas, Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan juga Datuk Hanifah Taib sebagai timbalan menteri untuk melihat isu berkaitan MA63.

Dan juga saya nampak dari sudut kes Petronas, kita ada perbincangan dua hala yang setakat ini berlaku secara rasional.

Ia akan memberikan keadaan menang-menang kepada negara dan juga Sarawak. Jadi maknanya dari sudut sambutan, lebih baik kerajaan sekarang daripada Kerajaan PH.

Apa makna kewujudan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dalam konteks hak Sarawak dan Hari Sarawak?

Saya rasa kementerian ini akan mempunyai tugas yang khusus untuk mengkaji apa yang saya sebutkan tadi termasuklah Artikel 112. Komposisi Parlimen akan dibincangkan termasuklah dari sudut lain seperti keselamatan dan perkara-perkara yang menyentuh peruntukanperuntukan dalam MA63 yang berpaksikan Suruhanjaya Cobbold.

Bagaimana membuat rakyat Sarawak supaya lebih bangga terhadap Sarawak?

Baru-baru ini dua orang menteri persekutuan telah melawat Sarawak. Dari segi hubungan etnik, mereka sangat kagum dengan kita dari segi cara kita menguruskan hubungan pelbagai etnik di negeri ini. Malah, mereka memuji penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Tiada negeri lain yang menubuhkan unit seperti ini. Saya beritahu Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique, bahaya Malaysia adalah dari segi polarisasi. Kalau tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi benih yang akan memecahbelahkan masyarakat Malaysia.

Hanya kalau masalah ini dapat diuruskan dengan baik, maka setiap orang akan merasakan mereka adalah sama rata dan dari segi perkongsian kuasa. Bahkan, saya diberitahu bahawa rumah ibadat di Semenanjung tidak diberi dana melainkan surau dan masjid tetapi di Sarawak, kita berikan bantuan kepada setiap agama.

Jadi penghormatan etnik mesti ada, dan kalau perkara ini ada, kita dapat membangunkan sosioekonomi secara adil dan saksama. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pula mengakui pelan digitalisasi kita.

Beliau mengakui Sarawak sudah ada pelan induk untuk mengubah negeri ini baik dalam aspek sosial mahupun ekonomi dengan menggunakan teknologi.

Beliau juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan Lembaga Mutimedia Sarawak (SMA) dan beliau minta supaya ada wakil SKMM dalam lembaga SMA.

Ini adalah baik kerana kalau keduadua organisasi ini bekerjasama, maka seluruh transformasi ekonomi yang kita gunakan dengan kaedah teknologi dapat dipercepatkan.

Kita ada menara, kita bina 300 menara di seluruh negara tetapi operator telekomunikasi mesti ada. Tapi syarikat telekomunikasi (telco) sekarang tidak akan masuk kerana tiada pasaran. Jadi Digi, Celcom, Maxis, Telekom tidak akan masuk. Oleh sebab itu, saya mahu menubuhkan entiti di bawah Kerajaan Negeri.

Kita menjadi operator telekomunikasi di kawasan yang kurang membangun, dengan subsidi tambahan dan caj munasabah. Kalau kita hendak pergi ke luar bandar dan entiti ini mempunyai lesen untuk beroperasi, barulah sekolah di luar bandar mempunyai liputan Internet.

Kalau tidak ada operator, siapa hendak sediakan kemudahan ini. Dengan kata lain, kita dapat menyediakan liputan telekomunikasi ke seluruh negeri. Kalau telco komersial tidak mahu masuk, kita masuk untuk memberikan kemudahan telekomunikasi.

Datuk Patinggi telah banyak bercakap mengenai Utamakan Sarawak.

Bagaimana hendak letakkan prinsip Utamakan Sarawak dalam konteks Hari Sarawak?

Untuk Sarawak, ringkas sahaja. Orang Sarawak mesti bersatu. Dengan apa-apa saja kekuatan yang ada, ia dapat digunakan untuk meningkatkan status ekonomi.

Sudah pasti Kerajaan Persekutuan perlu menyedari dalam sesetengah bidang mereka perlu bersamasama kita.

Apabila kita kuat dari segi kewangan dan ekonomi, kemudian setiap orang akan mendapat manfaat. Jadi kita mesti bersatu kerana kita mempunyai kekuatan iaitu tenaga elektrik sendiri, sumber dan bakat.

Kalau kita menjadi ‘power house’, Sarawak akan menjadi sebahagian daripada pembangunan negara. Sebab itu, kita punya tema ‘Sarawak Cemerlang’ untuk Hari Sarawak tahun ini. Ini bermaksud kita mencapai kejayaan dari segi sosial dan ekonomi. Kadar kemiskinan kurang, orang sibuk dengan pembangunan sendiri, daripada budaya pun kita meningkat termasuk bakat.

Dengan ini, kita boleh menjadi model. Sasarannya ialah kita muncul negeri termaju di Malaysia menjelang 2030. Sebab itulah tiga tahun lepas saya tumpukan perhatian kepada kemudahan asas.

Maknanya kita tingkatkan bekalan air, jalan raya d a n juga bekalan elektrik. Ini akan mentransformasikan kawasan luar bandar. Kemudian kita mempunyai ramai anak Sarawak yang berbakat. Kita telah berjumpa ramai anak Sarawak yang berjaya di luar negeri bahkan di luar negara.

Namun, mereka kata bagaimana hendak balik sebab tidak ada kerja yang sesuai dengan pengetahuan mereka. Sebab itulah kita pergi kepada hi-tech, IT kerana ini ialah pekerjaan bergaji tinggi.

Bagaimana Datuk Patinggi meletakkan Hari Sarawak dalam konteks Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, juga dalam konteks kita membina sebuah negara bangsa?

Kita meraikan Hari Sarawak kerana kita sangat berbangga menjadi rakyat Sarawak. Kita mempunyai sesuatu yang berlainan dengan yang lain dan inilah yang memperkayakan seluruh negara kerana ia adalah berkait. Kalau Sarawak maju, Malaysia juga maju.

Kalau Sarawak tak maju, Malaysia akan menghadapi sesuatu masalah. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya selama lebih 40 tahun dalam politik, kita mesti mempunyai pelan, dan kemudian kita perlu mengubah dan menyesuaikannya dengan perkembangan semasa dan masa depan.

Saya melalui banyak perkara sedemikian. Umpamanya, pelancongan dulu tidak begitu baik, apabila saya dilantik sebagai Menteri Pelancongan, saya cuba mengubahnya. Begitu juga apabila menjadi Menteri Perumahan, apabila Sibu Jaya ketika itu hampir jatuh, saya berusaha mengubahnya.

Pada hari ini Sibu Jaya menjadi tempat yang paling maju di Sibu. Selain itu, semasa saya diamanahkan menjaga sektor pendidikan dulu, perkara sama saya lakukan dengan mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan. Sarawak sebenarnya orang kata kaya tapi miskin.

Tapi kita harus menganalisis mengapa orang kata, Sarawak miskin, sebab pendapatan orang kampung tidak meningkat. Keadaan ini demikian kerana tidak ada kemudahan untuk mereka mendapat pendapatan yang lebih tinggi sebab tidak ada perhubungan.

Sebab itu, Tok Nan mula membina jalan pesisir dan saya hanya meneruskannya… Cuma persoalannya ialah aspek pembiayaan. Itulah sebabnya saya mencari cara bagaimana untuk membiayai projek ini kerana bukannya murah, semua mahal-mahal tetapi saya boleh memberi jaminan kita boleh melaksanakannya tanpa menjejaskan rizab.

Itulah sebabnya saya melihat dalam perlembagaan di manakah kekuatan kita dan saya nampak dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, Sarawak mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan. Jadi saya gunakan kelebihan ini untuk kita kenakan cukai jualan hasil minyak dan gas selain menaikkan royalti air daripada 1 sen kepada 2.5 sen, ini akan memberi kita pendapatan tambahan.

Apakah yang harus dilakukan oleh rakyat supaya impian Datuk Patinggi untuk Sarawak maju menjelang 2030 tercapai?

Saya ada keyakinan diri, Sarawak mampu melakukannya. Masalah di Sarawak, kita harus mempunyai 8 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP). Dapat tidak kita capai, bagi saya kita dapat. Saya yakin kita mampu mencapai 8 peratus GDP kerana kita rasa walaupun selepas Covid-19, projek dan perniagaan sudah berjalan di banyak kawasan. Selain itu, apabila kita menyuntik dana pembangunan ia akan memacu pembangunan ekonomi, kemudian kita dapat mencapai sekurang-kurangnya enam peratus pertumbuhan GDP.

Jadi kita kekurangan dua peratus, tapi jangan lupa pelaburan swasta kita masuk. Bermakna kita mempunyai pelaburan tambahan dari pelabur. Maka dengan itu, saya nampak kita mampu capai 8 peratus dan itu akan membawa kita mencapai status negeri membangun menjelang 2030. Macam hutan, kerajaan terpaksa campur tangan dalam penanaman semula hutan kerana sektor swasta, ibarat melepas batuk di tangga. Jadi ini merupakan sebahagian daripada perbelanjaan untuk kita memperkayakan hutan. Tetapi paling penting ialah perpaduan, kestabilan politik mesti ada. Itulah kuncinya.

Sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak seperti yang dizahirkan oleh Datuk Patinggi sempena 100 hari menjadi Ketua Menteri, apa maknanya dalam konteks Hari Sarawak?

Orang Sarawak mestilah mempunyai satu visi di mana kita tumpukan semua sumber ke arah satu matlamat iaitu membangunkan Sarawak sebagai negeri yang dapat menjadi contoh kepada yang lain. Kedua dapat memainkan peranan dalam pembangunan bangsa.