INI ialah realiti.

Mereka merupakan sahabat saya yang bertugas di negeri ini untuk tempoh lebih lima tahun.

Mereka berasal dari Semenanjung, tetapi di jiwanya, mereka meletakkan Sarawak melebihi segala-galanya. Puji berhambur, tidak sedikit pun ungkapan negatif yang terbit.

“Kalau boleh saya mahu berkhidmat lama di Bumi Kenyalang ini.

Dan hal ini terbukti apabila saya bersara dan menamatkan kerjaya sebagai pegawai tentera di sini,” kata bekas Panglima Medan Timur yang pertama, Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar.

Zaki yang berada di barisan hadapan sewaktu Perang Lahad Datu menjelaskan betapa beliau berasa tenang dan damai di negeri ini.

“Penduduknya cukup ramah dan mesra.

Kita hanya perlu menyesuaikan diri dan saling menghormati,” katanya lagi, yang menerima pingat kebesaran pada tahun pertama berkhidmat.

Seorang lagi, rakan wartawan, Hardi Effendi Yaacob turut berkongsi senario yang sama.

Beliau yang bertugas lama sebagai Ketua Biro BH di Kuching menzahirkan rasa gembira bertugas di sini.

“Sarawak merupakan rumah kedua saya.

Isteri saya cukup fasih berbahasa Melayu Sarawak dan seluruh keluarga amat senang di sini.

“Penduduknya ramah dan tidak pentingkan diri sendiri. Malah saya berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat Sarawak,” jelasnya lagi.

Hardi kini tidak lagi bertugas dalam lapangan kewartawanan, namun cintanya terhadap Sarawak sentiasa membara.

“Saya bangga dan bahagia menjadi sebahagian daripada rakyat Sarawak, dan berkhidmat untuknya.

Kalau diberikan peluang lagi, saya amat berbesar hati.

Inilah kelebihan Sarawak.

Sarawak merupakan negeri yang melambangkan perpaduan, negeri yang melambangkan kemajmukan sebenar.

Ia merupakan negeri yang seharusnya menjadi contoh, kerana di dadanya tiada rasisme mahupun skeptis.

Semua kaum dan agama dapat duduk sekerusi, makan semeja, malah tidur sebantal.

Justera itu, sewajarnya keharmonian ini dipertahankan.

Sempena Hari Sarawak yang disambut hari ini, keunikan inilah yang seharusnya dilihat.

Keunikan inilah yang mencorakkan Sarawak, biarpun dalam beberapa waktu kebelakangan ini, banyak racun mula disuntik melalui saraf media sosial.

Ada beberapa pihak cuba menghasut agar rakyat negeri ini berpecahbelah dan berantakan — bagi mempermudah mereka menabur kebencian.

Agenda mereka tidak lain tidak bukan, adalah untuk menyuburkan ideologi politik. Politik telah menghancurkan perpaduan di Semenanjung.

Ia malah hampir memusnahkan negara, dan menjerumus kita ke lembah kegalauan ekonomi.

Kerana itu penting untuk kita menepis elemen negatif ini.

Kita tidak mampu untuk berpolitik 24 jam kerana negeri ini masih dahagakan pembangunan.

Negeri ini masih perlukan pembelaan.

Sarawak tidak kurang sebenarnya berbanding negeri-negeri lain.

Negeri ini ketinggalan merupakan persepsi sesetengah pihak tanpa menilai fakta sebenar.

Sarawak sebenarnya jauh lebih pesat dari sesetengah bandar lain di negara ini.

Cuma yang menjadi hambatan ialah geografinya yang luas.

Justera itu, sama-samalah kita meraikan tema sambutan tahun ini.

Tema ‘Sarawak Cemerlang’ seharusnya membawa kita mengimbau kehebatan Sarawak di mata dunia.
Sarawak ada Henry Golding, ada Zee Avii malah ada Datuk Idris Jala dan Datuk Mohd Karim Abdullah — yang telah bergelar personaliti di mata dunia. Ia membuktikan Sarawak hebat.

Dan kini, Sarawak melangkah deras melalui ekonomi digital.

Ia langkah yang tepat dan terbukti mampu membawa negeri ini melangkah era baharu.

Ia membawa kita memasuki masa depan dengan bergaya.

Justeru amat wajar untuk kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas ilham dan komitmen ini.

Beliau menggalas tugas yang cukup berat dan perlu diselesaikan segera.

Ini termasuk memastikan hak negeri ini terus terpelihara, terutama dari aspek perlembagaan.

Juga memastikan apa yang dijanjikan sewaktu penubuhan Malaysia dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Terkini beliau mencadangkan agar satu pertiga keanggotaan Parlimen perlu dari Sarawak dan Sabah.

Dan ia merupakan cadangan yang harus disokong sepenuhnya kerana ia hak kita.