GOLONGAN muda merupakan aset penting dalam merangka serta memacu pembangunan Sarawak ke arah status negeri maju menjelang 2030.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran persekitaran global yang semakin kompetitif terutama dari sudut ekonomi, sosial, teknologi dan politik sumbangan dan cadangan generasi tetap penting.

Sedar dengan peranan penting golongan ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan meluluskan peruntukan berjumlah RM3.1 juta untuk menganjurkan program Jelajah Belia Sarawak.

Program padat dengan pelbagai pengisian aktiviti itu berlangsung di seluruh negeri dengan lokasi pertama di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan.

Terkini, program diadakan di Dewan Masyarakat Daro dan mendapat sambutan hebat 200 belia dan beliawanis di kawasan itu. Program bermatlamat mempertingkat penglibatan belia dan persatuan dalam program anjuran kerajaan itu turut mencungkil, mengasah dan memberi peluang kepada belia setempat untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka.

Ia juga bertujuan memupuk semangat juang ke arah belia yang cergas, bertanggungjawab, berkepimpinan, berpersatuan, berkerjaya, bersukarelaan dan semangat cintakan negara. Yang pasti, penganjuran program seumpama ini amat penting sejajar dengan peranan belia sebagai pemimpin dan citra masa depan.

Ia juga membuktikan betapa Kerajaan Sarawak amat prihatin dengan keperluan anak muda, di samping bersungguh-sungguh melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Justeru, langkah proaktif berpaksikan kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak wajar mendapat sokongan padu semua pihak. Ini kerana, kejayaan dan kecemerlangan belia tidak bergantung kepada daya usaha dan komitmen kerajaan semata-mata.

Selain kesedaran dan semangat anak muda sendiri untuk berubah, usaha ini juga memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa dan masyarakat. Malah, sokongan padu sektor korporat juga memainkan peranan sebagai momentum untuk mereka mengharungi transformasi ekonomi pada masa depan.

Penyertaan dalam program seumpama itu mampu mencorakkan minda positif, menyuntik semangat perpaduan dan memupuk kesedaran, di samping mencetus semangat serta memotivasikan anak muda lain untuk bergiat aktif dalam aktiviti sihat sekali gus menghindarkan mereka daripada terjebak ke dalam gejala sosial.

Menyedari pemantapan belia adalah proses berterusan, Kerajaan Sarawak komited mempelbagaikan ruang dan peluang bagi membolehkan golongan itu berusaha melonjakkan keupayaan diri mereka.

Malah potensi golongan muda wajar dibangunkan melalui pelbagai ruang supaya menjadi individu berkualiti dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

Sebagai generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.

Pada masa yang sama mereka berperanan sebagai penggerak perubahan dan penghubung sumber dalam konteks pembangunan secara berterusan. Kerajaan Sarawak tidak mengabaikan golongan muda sebaliknya sentiasa menyediakan peluang kepada mereka untuk berjaya sekali gus menjadi modal insan berkualiti.

Pelbagai platform lain turut disediakan seperti prasarana sukan selain memberi tumpuan terhadap pembangunan digital bagi menampung keperluan masa depan generasi muda ini.

Dalam pada itu, belia juga wajar meningkatkan budaya berpersatuan kerana penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan mampu menyemai nilai kepimpinan dan jati diri selain berupaya merapatkan barisan dan mengukuhkan kesatuan dalam kalangan mereka.

Berpersatuan juga mampu meningkatkan peranan anak-anak muda sebagai pencetus inovasi dan kreativiti, penggerak pembangunan dan kemahiran yang memiliki jati diri unggul dan berkualiti.